
Selepas lebih satu abad pertikaian mengenai penggunaan ikon, Empayar Byzantine akhirnya memasuki satu titik perubahan pada tahun 843 Masihi. Ketika itu, Maharaja Theophilos yang mempertahankan dasar Ikonoklasme telah mangkat, meninggalkan takhta kepada puteranya yang masih kecil, Michael III.
Oleh sebab Michael belum cukup umur untuk memerintah, ibunya Maharani Theodora dilantik sebagai pemangku pemerintah (regent).
Theodora berada dalam kedudukan yang agak unik. Suaminya merupakan penyokong kuat Ikonoklasme dan meneruskan dasar menentang penghormatan terhadap ikon sepanjang pemerintahannya. Theodora pula dipercayai secara peribadi menyokong penggunaan ikon walaupun ketika suaminya masih hidup. Selepas kematian Theophilos pada tahun 842, beliau akhirnya mempunyai peluang untuk mengubah dasar agama empayar.
Bagi melaksanakan perubahan tersebut, Theodora mendapat sokongan daripada tokoh-tokoh gereja yang mempertahankan ikon. Patriark Constantinople, John VII Grammatikos, yang menyokong Ikonoklasme disingkirkan daripada jawatannya dan digantikan oleh Methodios I.
Bersama-sama, mereka mengembalikan keputusan Majlis Nicaea Kedua di Iznik pada tahun 787 yang sebelum ini mengiktiraf penghormatan terhadap ikon sebagai sebahagian daripada tradisi Kristian.
Pada bulan Mac tahun 843, satu majlis gereja diadakan di Constantinople bagi mengesahkan pemulihan tersebut. Tidak lama kemudian, Theodora, Michael III, Patriark Methodios serta para paderi dan rahib menyertai satu perarakan membawa ikon kembali ke dalam gereja.
Peristiwa ini dikenali sebagai Triumph of Orthodoxy atau Kemenangan Ortodoks, yang menandakan berakhirnya Ikonoklasme sebagai dasar rasmi Empayar Byzantine. Sehingga hari ini, Gereja Ortodoks Timur masih memperingati peristiwa tersebut pada Ahad pertama musim Great Lent (tempoh puasa selama 40 hari).
Kejayaan Theodora sering dibandingkan dengan usaha Maharani Irene beberapa dekad sebelumnya. Irene berjaya memulihkan penghormatan terhadap ikon melalui Majlis Nicaea Kedua pada tahun 787, namun dasar tersebut dibatalkan apabila Ikonoklasme dihidupkan semula pada awal abad ke-9.
Sebaliknya, pemulihan yang dilakukan oleh Theodora pada tahun 843 adalah kekal. Selepas itu, tiada lagi maharaja Byzantine yang menjadikan Ikonoklasme sebagai dasar rasmi empayar.
Berakhirnya Ikonoklasme turut membuka lembaran baharu kepada seni Byzantine. Gereja-gereja kembali dihiasi dengan imej Jesus Christ, Virgin Mary, para santo dan kisah daripada Bible. Mozek, fresco dan ikon berkembang dengan pesat, menghasilkan karya seni yang hari ini dianggap antara pencapaian terbesar tamadun Byzantine. Banyak hasil seni yang masih dapat disaksikan di Türkiye lahir selepas berakhirnya konflik ini.