+60198815190  
 akudianatolia@gmail.com

Masjid Fatih Trilye: Jejak 1,200 Tahun Sejarah Byzantine

Di pesisir Laut Marmara, kira-kira satu jam perjalanan dari pusat bandar Bursa, terletaknya sebuah pekan kecil bernama Trilye. Pada zaman Byzantine, kawasan ini dikenali sebagai Trigleia, sebuah bandar pelabuhan yang makmur di wilayah Bithynia.

Di sinilah berdirinya Masjid Fatih Trilye, sebuah bangunan yang asalnya dibina sebagai gereja sekitar awal abad ke-9 Masihi. Selepas lebih 1,200 tahun, bangunan ini masih teguh berdiri dan menjadi antara tinggalan Byzantine yang paling berharga di Bursa.

Nama asal gereja ini tidak dapat dipastikan kerana tiada rekod yang benar-benar mengesahkannya. Namun, ramai sejarawan merujuknya sebagai Gereja St. Stephen, sempena St. Stephen the Confessor, seorang rahib Byzantine yang hidup pada abad ke-8 dan ke-9. Beliau dikenang kerana mempertahankan penggunaan ikon dalam ibadah Kristian ketika isu tersebut menjadi perdebatan besar dalam Empayar Byzantine.

Kehidupan St. Stephen berubah apabila Maharaja Leo V menghidupkan semula dasar Ikonoklasme pada tahun 815 Masihi. Dasar ini melarang penghormatan terhadap ikon keagamaan kerana dianggap boleh membawa kepada penyembahan berhala. St. Stephen menolak arahan tersebut dan terus mempertahankan amalan tradisi Gereja Timur.

Akibat pendiriannya, beliau ditangkap, dipenjarakan dan mengalami pelbagai bentuk penyeksaan sebelum meninggal dunia. Selepas dasar Ikonoklasme berakhir, beliau dihormati sebagai seorang ‘confessor’ yang tetap mempertahankan kepercayaannya walaupun berdepan penganiayaan.

Selepas Bursa ditakluki oleh tentera Uthmaniyyah pada tahun 1326, Trilye kekal sebagai sebuah penempatan yang majoritinya dihuni masyarakat Greek Ortodoks selama beberapa abad lagi. Hanya sekitar abad ke-16, gereja ini ditukar menjadi masjid dan dikenali sebagai Masjid Fatih.

Seperti banyak bangunan Byzantine lain di Anatolia, struktur asal gereja dikekalkan, manakala beberapa unsur Islam seperti mihrab dan mimbar ditambah bagi memenuhi keperluan ibadah umat Islam.

Nasib bangunan ini sekali lagi berubah selepas Perang Greek-Turki. Antara tahun 1920 hingga 1922, ketika Trilye berada di bawah pendudukan tentera Greek, bangunan ini kembali digunakan sebagai gereja Ortodoks. Namun keadaan itu tidak bertahan lama.

Selepas penubuhan Republik Türkiye pada tahun 1923, Greek dan Türkiye melaksanakan pertukaran penduduk secara paksa mengikut kepercayaan agama. Hampir semua penduduk Kristian Ortodoks di Trilye berpindah ke Greece, manakala umat Islam dari Greece ditempatkan di Türkiye. Sejak itu, bangunan ini sekali lagi berfungsi sebagai masjid dan terus digunakan sehingga hari ini.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED