+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

Ikonoklasme: Krisis Ikon dalam Sejarah Byzantine

Apabila kita melawat Hagia Sophia di Istanbul hari ini, kita sering terpukau melihat mosaik dan fresko (lukisan dinding) yang menghiasi tingkat atas masjid tersebut. Namun, tidak ramai yang mengetahui bahawa suatu ketika dahulu, Empayar Byzantine pernah mengharamkan hampir semua imej keagamaan ini. Tempoh yang penuh kontroversi itu dikenali sebagai Ikonoklasme (Iconoclasm), atau gerakan pemusnahan ikon.

Dalam tradisi Kristian Timur, ikon (icon) bukan sekadar lukisan atau hiasan dinding. Ikon dianggap sebagai medium untuk membantu penganut mendekatkan diri kepada Tuhan serta mengingati kehidupan Jesus Christ, Mary dan para santo (saint). Ia memainkan peranan penting dalam ibadah dan kehidupan seharian masyarakat Byzantine.

Namun pada abad ke-8, timbul kebimbangan dalam kalangan sebahagian pemerintah dan pemimpin agama bahawa penghormatan terhadap ikon sudah melampaui batas sehingga menyerupai penyembahan berhala. Mereka merujuk kepada larangan dalam Kitab Keluaran (Book of Exodus) yang menegah penyembahan patung dan imej.

Pada tahun 726 Masihi, Maharaja Leo III memulakan dasar yang menentang penggunaan ikon. Sedikit demi sedikit, ikon diturunkan dari gereja, mosaik dimusnahkan dan fresko dipadamkan. Ramai rahib (monk) yang mempertahankan ikon diusir, dipenjarakan atau dihukum kerana enggan mematuhi arahan maharaja.

Gerakan ini bukan sekadar perdebatan agama. Ia juga berkait rapat dengan perebutan kuasa antara maharaja dan gereja. Dengan mengawal penggunaan ikon, maharaja turut mengukuhkan pengaruhnya terhadap institusi keagamaan. Pada masa yang sama, banyak biara (monastery) yang kaya dan berpengaruh menjadi sasaran kerana dianggap terlalu berkuasa.

Tidak semua pihak bersetuju dengan dasar tersebut. Ramai ahli teologi (theologian) berhujah bahawa ikon bukan disembah sebagai Tuhan, sebaliknya dihormati sebagai lambang yang mengingatkan penganut kepada individu suci yang digambarkan. Mereka membezakan antara penyembahan kepada Tuhan dengan penghormatan terhadap ikon.

Perdebatan ini berlarutan selama lebih satu abad dan beberapa kali berubah mengikut maharaja yang memerintah. Ada pemerintah yang menyokong ikon, manakala penggantinya mengharamkannya semula. Ketidakstabilan ini menyebabkan banyak karya seni Byzantine yang tidak ternilai musnah buat selama lamanya.

Pada tahun 787 Masihi, Maharani Irene memanggil Majlis Nicaea Kedua (Second Council of Nicaea) di Hagia Sophia, İznik. Para biskop dari seluruh dunia Kristian berkumpul untuk membincangkan isu ini. Majlis tersebut akhirnya memutuskan bahawa penggunaan ikon dibenarkan, selagi ikon dihormati sebagai simbol keagamaan dan bukannya disembah sebagai Tuhan.

Bagi pengunjung ke Türkiye hari ini, Hagia Sophia İstanbul mungkin kelihatan jauh lebih kaya dengan mozek dan ikon Byzantine berbanding Hagia Sophia İznik. Namun, keadaan ini tidak semestinya menggambarkan rupa asal kedua-dua gereja.

Sebelum tercetusnya Iconoclasm, kedua-duanya dihiasi dengan imej Jesus, Mary dan para santo. Ketika maharaja Byzantine mengarahkan pemusnahan ikon, banyak hiasan keagamaan di gereja-gereja seluruh empayar ditanggalkan atau ditutup. Selepas Kemenangan Ortodoks (Triumph of Orthodoxy) pada tahun 843, ikon kembali menghiasi gereja-gereja Byzantine, walaupun tidak semuanya dapat dipulihkan seperti asal.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED