
Di tengah kota lama İznik berdiri sebuah bangunan yang kelihatan sederhana jika dibandingkan dengan Hagia Sophia di Istanbul. Bangunan ini tidak memiliki kubah gergasi atau mozek emas yang menghiasi setiap sudut dinding, malah suasananya juga jauh lebih tenang tanpa barisan pelancong yang panjang. Namun, di sebalik kesederhanaannya, Hagia Sophia İznik merupakan antara bangunan paling bersejarah di Türkiye.
Sejarahnya bermula sekitar abad ke-6 apabila Maharaja Justinian I membina sebuah gereja baharu di atas tapak gereja yang lebih awal. Ketika itu, İznik atau Nicaea merupakan salah sebuah bandar terpenting dalam Empayar Byzantine. Sebagai pusat pentadbiran dan keagamaan di wilayah Bithynia, kota ini memerlukan sebuah gereja yang mencerminkan kedudukannya dalam empayar.
Reka bentuk Hagia Sophia İznik memperlihatkan ciri seni bina Byzantine yang sederhana tetapi kukuh. Bangunan ini dibina dalam pelan berbentuk basilika dengan tiga ruang utama, disokong oleh tiang-tiang batu dan dihiasi mozek serta fresko (lukisan dinding) yang menggambarkan kisah dalam agama Kristian. Selama berabad-abad, gereja ini menjadi tempat ibadah utama masyarakat Kristian di İznik.
Selain berfungsi sebagai gereja, Hagia Sophia İznik turut menjadi lokasi pelbagai upacara keagamaan dan majlis rasmi yang melibatkan maharaja, biskop (bishop) serta pemimpin gereja. Kedudukannya di tengah kota menjadikannya nadi kehidupan keagamaan masyarakat Byzantine sepanjang ratusan tahun.
Bangunan ini juga dikaitkan dengan dua peristiwa penting dalam sejarah Kristian. Di tapak inilah berlangsungnya Majlis Nicaea Pertama (First Council of Nicaea) pada tahun 325 Masihi dan Majlis Nicaea Kedua (Second Council of Nicaea) pada tahun 787 Masihi. Kedua-dua persidangan tersebut memainkan peranan besar dalam membentuk ajaran dan tradisi Kristian yang masih diamalkan sehingga hari ini.
Seperti banyak bandar Byzantine yang lain, İznik tidak terlepas daripada peperangan dan bencana alam. Gempa bumi beberapa kali merosakkan bangunan ini, sebelum dibaik pulih oleh pemerintah Byzantine. Walaupun mengalami pelbagai perubahan, fungsi utamanya sebagai gereja tetap diteruskan selama hampir lapan abad.
Segalanya berubah pada tahun 1331 apabila Orhan Gazi berjaya menawan İznik. Selepas hampir seribu tahun berada di bawah pemerintahan Byzantine, bandar ini menjadi sebahagian daripada wilayah Uthmaniyyah. Hagia Sophia kemudiannya ditukar menjadi masjid, menjadikannya antara gereja Byzantine terawal di Anatolia yang menerima fungsi baharu di bawah pemerintahan Uthmaniyyah.
Pada abad ke-20, bangunan ini dijadikan muzium sebagai sebahagian daripada usaha memelihara warisan sejarah Türkiye. Namun pada tahun 2011, ia kembali dibuka sebagai masjid dan sehingga hari ini masih digunakan untuk solat berjemaah, sambil terus menerima kunjungan pelawat dari seluruh dunia.