+60198815190  
 akudianatolia@gmail.com

Hagia Sophia: Apabila Ikon Kembali ke Gereja Teragung Byzantine

Pada tahun 843 Masihi, berakhirnya konflik agama paling panjang dalam Sejarah Empayar Byzantine melalui peristiwa yang dikenali sebagai Triumph of Orthodoxy. Penghormatan terhadap ikon dipulihkan secara rasmi selepas lebih satu abad dipertikaikan.

Namun perubahan itu bukan sekadar melibatkan dasar kerajaan atau keputusan gereja. Kesannya dapat dilihat dengan jelas di Hagia Sophia, gereja teragung Empayar Byzantine yang menjadi simbol kebangkitan semula seni dan tradisi Kristian Timur.

Semasa zaman Ikonoklasme, Hagia Sophia turut mengalami perubahan mengikut dasar pemerintah Byzantine. Sebahagian imej keagamaan yang menghiasi gereja tidak lagi dipamerkan seperti sebelumnya, manakala simbol seperti salib menjadi lebih menonjol dalam ruang ibadah.

Di bahagian apsis, sebuah salib besar menjadi hiasan utama menggantikan imej Jesus Christ atau Virgin Mary. Keadaan ini mencerminkan pendirian pemerintah ketika itu yang menerima salib sebagai simbol Kristian, tetapi menolak penggunaan imej manusia dalam ruang ibadah.

Perubahan besar berlaku pada tahun 867 Masihi, kira-kira dua dekad selepas Triumph of Orthodoxy. Di bahagian apsis yang sama, sebuah mozek monumental yang menggambarkan Virgin Mary sedang mendukung bayi Jesus diperkenalkan kepada orang ramai.

Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Patriark Photios, salah seorang tokoh intelektual terkemuka Byzantine, yang menyifatkan pemulihan imej tersebut sebagai lambang kemenangan Gereja Ortodoks selepas berakhirnya Ikonoklasme.

Pemilihan Hagia Sophia bukanlah suatu kebetulan. Sebagai gereja terbesar dan paling berpengaruh dalam Empayar Byzantine, segala perubahan yang berlaku di dalamnya menjadi contoh kepada gereja-gereja lain di seluruh empayar. Apabila ikon kembali menghiasi Hagia Sophia, seluruh dunia Kristian Timur melihatnya sebagai tanda bahawa pertikaian mengenai ikon telah berakhir.

Dalam abad-abad berikutnya, Hagia Sophia terus menerima tambahan mozek yang menggambarkan Jesus Christ, Virgin Mary, maharaja serta tokoh gereja. Antaranya ialah mozek Imperial Gate.

Mozek tersebut menggambarkan Jesus Christ Pantocrator duduk di takhta sambil memberkati dengan tangan kanan dan memegang Kitab Injil yang bertulis, Salam sejahtera bagi kamu. Akulah cahaya yang menerangi dunia.”

Di hadapannya, Maharaja Leo VI berlutut sebagai tanda penyerahan diri, memohon keampunan, perlindungan dan restu Tuhan terhadap pemerintahannya. Pada kedua-dua sisi Jesus Christ pula terdapat dua medalion yang memaparkan Malaikat Jibril (Gabriel) di sebelah kiri dan Virgin Mary di sebelah kanan.

Apabila Sultan Mehmed II (al-Fatih) menakluki Constantinople pada tahun 1453, Hagia Sophia ditukar menjadi masjid. Kebanyakan mozek figuratif tidak dimusnahkan, sebaliknya ditutup dengan lapisan plaster mengikut amalan Islam pada ketika itu.

Ironinya, tindakan tersebut membantu memelihara banyak karya seni Byzantine selama berabad-abad sehingga sebahagiannya didedahkan semula melalui kerja-kerja pemuliharaan pada zaman moden.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED