+60198815190  
 akudianatolia@gmail.com
Home > Empayar > Seljuk

Konya Sebelum Mevlana: Dari Iconium ke Kota Sufi

Konya merupakan salah satu kota penting di tengah Anatolia, dengan jumlah penduduk sekitar 2.34 juta orang di seluruh wilayahnya. Dari Istanbul, anda boleh ke Konya dengan penerbangan atau menggunakan kereta api berkelajuan tinggi, Yüksek Hızlı Tren (YHT), yang menghubungkan kedua-dua kota dalam kira-kira 4 jam 50 minit.

Namun, bagi kebanyakan pelawat, Konya bukan sekadar sebuah kota moden. Nama kota ini begitu rapat dengan sejarah Islam dan Sufisme, khususnya melalui seorang tokoh yang makamnya terus menarik pengunjung dari seluruh dunia.

Jauh sebelum dikenali sebagai kota Mevlana, Konya sudah mempunyai sejarah yang panjang. Pada zaman Rom, kota ini dikenali sebagai Iconium, sebuah penempatan penting di pedalaman Anatolia. Kedudukannya berhampiran laluan yang menghubungkan wilayah barat dan timur menjadikannya sebahagian daripada rangkaian perjalanan dan perdagangan yang merentasi Anatolia.

Dalam tradisi Kristian awal, kawasan sekitar Konya juga mempunyai kaitan dengan perjalanan St. Paul yang menyebarkan agama Kristian di Anatolia.

Apabila Empayar Rom berpecah pada tahun 395, Iconium berada dalam wilayah Empayar Rom Timur atau Byzantine. Kedudukannya terus penting kerana kota ini terletak di antara laluan yang menghubungkan Constantinople dengan kawasan selatan Anatolia dan seterusnya menuju Jerusalem.

Pada zaman Byzantine, kawasan sekitar Konya juga menjadi tempat berkembangnya komuniti Kristian, termasuk di Sille yang terletak tidak jauh dari pusat kota. Tinggalan gereja dan biara di kawasan tersebut menjadi sebahagian daripada bukti bahawa sejarah Konya sebelum kedatangan Islam mempunyai lapisan Byzantine yang kuat.

Perubahan besar berlaku selepas kemunculan bangsa Turki Seljuk di Anatolia. Konya ditakluki oleh Seljuk dan akhirnya menjadi ibu kota Kesultanan Seljuk Rum selepas tentera Salib menawan İznik pada tahun 1097. Dari sinilah kota tersebut berkembang menjadi salah satu pusat politik, perdagangan dan kebudayaan terpenting di Anatolia.

Pada abad ke-12 dan ke-13, masjid, madrasah, pasar dan bangunan awam dibina, sementara para ulama, sarjana dan seniman datang ke Konya. Kota ini sedang membentuk suasana intelektual yang kemudiannya akan menjadi latar penting kepada perkembangan Sufisme.

Kemudian, pada abad ke-13, seorang ulama dari keluarga yang berasal dari dunia timur Islam tiba di Konya bersama keluarganya. Namanya Jalaluddin Muhammad Rumi, yang kemudiannya lebih dikenali sebagai Mevlana.

Beliau menghabiskan sebahagian besar hidupnya di kota ini dan akhirnya dikebumikan di sini, di samping ayahnya, Bahauddin Walad. Hari ini, makamnya di bawah Kubbe-i Hadra, atau Green Dome, menjadi simbol Konya dan tempat yang dikunjungi manusia dari pelbagai negara, bukan hanya untuk mengenang seorang penyair, tetapi untuk mendekati warisan pemikiran dan Sufisme yang berkembang di kota ini.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED