
Sebelum ini saya ada menulis berkenaan sejarah Hagia Irene, antara gereja Byzantine tertua yang masih berdiri di Istanbul. Namun kali ini, kita akan melihat bahagian dalamnya dengan lebih teliti, khususnya bahagian apsis, iaitu ruang berbentuk separuh bulatan di bahagian hadapan gereja.
Tidak seperti kebanyakan gereja Byzantine yang dihiasi imej Jesus Christ, Virgin Mary dan para santo (saints), bahagian ini hanya menampilkan sebuah salib besar berlatarbelakangkan warna keemasan. Salib yang kelihatan begitu sederhana ini sebenarnya membawa kita kepada salah satu konflik agama paling besar dalam sejarah Byzantine, iaitu Ikonoklasme.
Pertikaian mengenai ikon mula memuncak ketika pemerintahan Maharaja Leo III pada abad ke-8. Beliau menentang penghormatan terhadap imej keagamaan, dan dasar ini kemudiannya diteruskan dengan lebih tegas oleh anaknya, Constantine V.
Mengapa sebahagian pemerintah Byzantine mahu menghapuskan ikon masih menjadi perdebatan dalam kalangan sejarawan. Pada ketika itu, masyarakat Kristian telah lama menggunakan imej ikon-ikon tersebut dalam kehidupan keagamaan.
Mereka berdoa di hadapan ikon, menyalakan lilin, mencium dan memberi penghormatan kepadanya. Bagi golongan yang menentang amalan ini, penghormatan tersebut dikhuatiri telah melampaui batas sehingga menyerupai penyembahan terhadap objek, sesuatu yang bertentangan dengan larangan menyembah berhala dalam ajaran Kristian.
Krisis yang melanda Empayar Byzantine pada abad ke-7 dan ke-8 mungkin turut mempengaruhi keadaan. Empayar kehilangan wilayah yang luas di Timur Tengah dan Afrika Utara kepada pemerintahan Islam, sementara Constantinople sendiri berhadapan serangan dari luar.
Gempa bumi, wabak dan bencana lain turut berlaku dalam dunia yang melihat kejayaan atau malapetaka sebagai tanda hubungan antara Tuhan dengan masyarakat. Dalam keadaan seperti ini, sesetengah pemerintah dan penduduk Byzantine mungkin tertanya-tanya sama ada kekalahan dan bencana tersebut merupakan hukuman Tuhan kerana amalan keagamaan yang dianggap telah menyimpang.
Hagia Irene memberikan kita gambaran fizikal tentang perubahan tersebut. Selepas mengalami kerosakan akibat gempa bumi pada tahun 740, gereja ini dibina semula ketika pemerintahan Constantine V. Sebuah salib besar ditempatkan pada bahagian apsis, bukannya gambaran Jesus Christ atau Virgin Mary. Salib itu masih berada di sana sehingga hari ini dan menjadi antara tinggalan monumental paling penting yang dikaitkan dengan seni gereja pada zaman Ikonoklasme.
Walaupun Ikonoklasme berakhir pada tahun 843, salib di Hagia Irene tidak digantikan dengan imej keagamaan yang lain. Ketika gereja-gereja Byzantine kembali dihiasi dengan ikon, mozek dan fresco, salib dari abad ke-8 ini terus kekal di bahagian apsis.
Keadaan ini menjadikan Hagia Irene antara tempat terbaik untuk memahami kesan Ikonoklasme yang masih dapat dilihat sehingga hari ini. Ia bukan sekadar sebuah gereja lama, tetapi saksi kepada bagaimana perubahan dasar agama pemerintah pernah mengubah rupa dan seni sebuah tempat ibadah.