+60198815190  
 akudianatolia@gmail.com

Pemurnian Bahasa Turki: Antara Warisan Uthmaniyyah dan Identiti Moden

Selepas memperkenalkan abjad Latin pada tahun 1928, kerajaan Republik Türkiye meneruskan satu lagi perubahan besar yang melibatkan bahasa Turki itu sendiri. Kali ini, tumpuan diberikan kepada perkataan yang digunakan dalam kehidupan seharian, penulisan dan urusan rasmi kerajaan.

Ketika zaman Empayar Uthmaniyyah, bahasa Turki banyak menerima pengaruh daripada bahasa Arab dan Parsi. Kedua-duanya digunakan secara meluas dalam pentadbiran, pendidikan, kesusasteraan dan urusan keagamaan.

Selepas penubuhan republik, keadaan ini mula dilihat sebagai satu perkara yang perlu diperbaiki. Mustafa Kemal Atatürk mahu membentuk sebuah negara moden dengan identiti kebangsaan yang tersendiri. Bahasa menjadi salah satu unsur penting dalam usaha tersebut.

Pada 12 Julai 1932, Atatürk menubuhkan Türk Dili Tetkik Cemiyeti, yang kemudiannya dikenali sebagai Türk Dil Kurumu (Persatuan Bahasa Turki). Institusi ini diberikan tanggungjawab untuk mengkaji, mengumpulkan dan memperkenalkan semula perkataan yang berasal daripada bahasa Turki.

Antara usaha yang dijalankan termasuk mengumpulkan perkataan lama daripada manuskrip sejarah, mencari perkataan yang masih digunakan dalam dialek tempatan serta mencipta istilah baharu berdasarkan akar bahasa Turki.

Pada peringkat awal, gerakan ‘pembersihan’ bahasa berlangsung dengan begitu agresif sehingga ribuan perkataan Arab dan Parsi dicadangkan untuk digugurkan. Ada perkataan baharu yang diperkenalkan, manakala sebahagian yang lain diambil daripada bahasa Turki lama dan dialek masyarakat di Anatolia. Keadaan ini menyebabkan sebahagian rakyat, khususnya golongan yang sudah terbiasa dengan bahasa lama, menghadapi kesukaran memahami istilah baharu.

Menjelang pertengahan tahun 1930-an, kerajaan mula menyedari bahawa perubahan yang terlalu pantas boleh menimbulkan kekeliruan. Malah, beberapa perkataan yang sebelum ini digantikan mula digunakan semula.

Hari ini, bahasa Turki moden juga masih menggunakan banyak perkataan yang berasal daripada bahasa Arab. Antaranya termasuk kitap (buku), kalem (pen), hayat (kehidupan), dünya (dunia), millet (bangsa) dan hükümet (kerajaan).

Manakala pengaruh bahasa Parsi juga masih dapat ditemui dalam kehidupan masyarakat Istanbul hari ini. Antaranya ialah saray yang bermaksud istana, seperti dalam nama Topkapı Sarayı dan Dolmabahçe Sarayı, çarşı yang merujuk kepada pasar seperti Kapalıçarşı (Grand Bazaar), serta meydan yang bermaksud dataran seperti Taksim Meydanı.

Revolusi bahasa pada zaman Atatürk akhirnya bukanlah usaha menghapuskan sepenuhnya pengaruh Arab dan Parsi. Sebaliknya, ia merupakan usaha membentuk bahasa kebangsaan yang lebih tersusun, mudah digunakan dan mencerminkan identiti republik baharu.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED