
Apabila musim luruh tiba di Türkiye, hutan-hutan mula berubah warna daripada hijau kepada kuning, jingga dan merah keperangan. Pemandangan ini menjadi antara tarikan utama bagi mereka yang ingin menikmati keindahan alam semula jadi sebelum musim sejuk bermula.
Yedigöller terletak kira-kira 42 kilometer di utara bandar Bolu, dalam kawasan Laut Hitam (Karadeniz). Nama Yedigöller bermaksud Tujuh Tasik dalam bahasa Turki, merujuk kepada tujuh buah tasik semula jadi yang terbentuk akibat pergerakan tanah runtuh yang menghalang aliran air di lembah.
Dari Istanbul, perjalanan ke sini mengambil masa sekitar empat hingga lima jam dengan jarak kira-kira 300 kilometer, bergantung pada laluan yang digunakan dan keadaan trafik.
Apa yang menjadikan Yedigöller begitu istimewa ialah gabungan tujuh buah tasik yang terletak di tengah-tengah kawasan hutan yang luas. Tasik-tasik tersebut dikenali sebagai Büyükgöl, Seringöl, Deringöl, Nazlıgöl, Küçükgöl, İncegöl dan Sazlıgöl. Setiap satunya mempunyai bentuk dan saiz yang berbeza, dikelilingi pokok-pokok yang tumbuh rapat di sepanjang tebing.
Ketika musim luruh, dedaunan pokok kayu oak, beech dan pine bertukar warna, menghasilkan pantulan warna yang cukup cantik di permukaan air. Pemandangan inilah yang menjadikan Yedigöller antara destinasi alam semula jadi paling menarik untuk dikunjungi di Türkiye.
Pengunjung boleh berjalan kaki mengelilingi kawasan tasik, menikmati suasana hutan dan berhenti di beberapa lokasi untuk mengambil gambar. Salah satu lokasi yang menarik ialah Kapankaya Observation Point, sebuah kawasan tinjau yang membolehkan pengunjung melihat pemandangan hutan dan tasik dari kedudukan yang lebih tinggi.
Selain itu, terdapat juga pokok-pokok besar yang telah berusia ratusan tahun, laluan pejalan kaki dan beberapa kawasan air terjun kecil. Bagi mereka yang gemar fotografi, waktu pagi ketika kabus masih menyelubungi permukaan tasik memberikan suasana yang cukup menarik.
Yedigöller telah diisytiharkan sebagai Taman Negara (Milli Park) pada 29 April 1965. Pengiktirafan ini bertujuan melindungi ekosistem semula jadi, kepelbagaian tumbuhan dan hidupan liar yang terdapat di kawasan tersebut. Hutan ini menjadi habitat kepada pelbagai spesies haiwan seperti rusa, tupai dan musang.
Walaupun Yedigöller merupakan destinasi pelancongan yang popular, pengunjung perlu menjaga tingkah laku sepanjang berada di sini. Elakkan membuang sampah merata-rata, memetik tumbuhan atau mengganggu hidupan liar. Aktiviti membuat unggun api hanya dibenarkan di kawasan yang ditetapkan, terutama ketika musim luruh apabila daun-daun kering mudah terbakar. Pengunjung juga tidak digalakkan berenang atau memasuki kawasan tasik yang tidak dibenarkan.
Bagi mereka yang datang pada penghujung musim luruh, persediaan perjalanan perlu diberikan perhatian. Daun-daun yang gugur dan basah boleh menjadikan laluan pejalan kaki licin, manakala suhu di kawasan pergunungan biasanya lebih rendah berbanding di bandar.
Pakailah kasut yang sesuai dan bawa pakaian tebal. Jika memandu sendiri, pastikan keadaan kenderaan berada dalam keadaan baik dan semak keadaan jalan sebelum bertolak kerana laluan ke Yedigöller boleh ditutup ketika musim sejuk akibat salji dan ais.