
Sepanjang bulan Ramadan tahun ini, sekitar jam 4 pagi, waktu di mana Istanbul biasanya hanya berdengung dengan bunyi trafik sayup dari jauh – ada bunyi gendang kuat yang mengejutkan saya dan jiran-jiran yang tinggal dalam mahalle (kejiranan) yang sama,
Dum… dum… dum…
Saya berjalan ke tingkap, menarik langsir, dan di situlah dia, Ramazan davulcusu, memakai rompi dan selempang tradisional, dengan gendang besar tergantung di bahu. Lampu jalan menangkap kilauan kayu pemukulnya ketika dia bergerak perlahan di sepanjang Lorong.
Selepas beberapa minit, bunyi itu semakin perlahan. Pemain gendang tersebut sudah sampai ke lorong seterusnya. Dan akhirnya bunyi itu hilang sepenuhnya di hujung jalan.
Tahun ini kira-kira 3,000 pemukul gendang keluar ke 961 kawasan kejiranan di seluruh Istanbul untuk mengejutkan orang ramai untuk bangun bersahur.
Pada zaman Uthmaniyyah dahulu, peranan mereka sangat penting. Manusia belum mempunyai jam digital, apatah lagi telefon. Untuk memastikan masyarakat bangun sebelum waktu imsak, seseorang perlu berjalan di kawasan kejiranan dan memberi tanda bahawa waktu sahur sudah hampir tiba. Gendang menjadi alat yang paling mudah untuk didengari dari jauh.
Pemain gendang biasanya mengenali kawasan mereka dengan baik. Mereka tahu lorong mana yang perlu dilalui. Ramai antara mereka melakukan pekerjaan ini setiap tahun. Ada yang mewarisinya dari keluarga mereka.
Bagi saya, dentuman gendang ini menjadi salah satu ritual Ramadan paling saya hargai. Ya, saya boleh set alarm. Tapi ada sesuatu yang unik apabila kita dikejutkan untuk bangun sahur oleh muzik yang bergema di jalan-jalan ini selama berabad-abad. Ia terasa seperti bandar sendiri berbisik, ‘Bangunlah, sudah tiba masanya untuk sahur dan solat Subuh.’
Jadi jika anda ada rezeki untuk melawat Istanbul semasa bulan Ramadan, dan mendengar pukulan gendang tersebut, jangan tutup telinga dan pusing balik untuk sambung tidur. Bangun, buka tingkap, dan lambaikan tangan kepada davulcu di bawah. Di kota besar seperti Istanbul, masih ada seseorang yang berjalan di lorong gelap untuk memastikan orang lain sempat bangun untuk sahur.