
Setiap tahun, Türkiye menerima puluhan juta pelancong dari seluruh dunia, pelancong domestik mereka juga sangat aktif. Namun kerajaan Türkiye sedar bahawa kejayaan industri pelancongan tidak boleh bergantung kepada Istanbul, Cappadocia atau Antalya semata-mata.
Atas sebab itu, Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan memperkenalkan Türkiye Kültür Yolu Festivali (Türkiye Culture Route Festival), sebuah inisiatif berskala nasional yang menggabungkan pelancongan, seni dan warisan budaya dalam satu jenama yang sama.
Matlamat festival ini jauh lebih besar daripada sekadar menganjurkan konsert atau pameran seni. Ia diwujudkan untuk meningkatkan nilai jenama bandar-bandar di Türkiye, menghidupkan semula kawasan bersejarah, serta menggalakkan pelancong menghabiskan lebih banyak masa dan perbelanjaan di bandar-bandar tersebut.
Projek ini bermula pada tahun 2021 apabila Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan melancarkan laluan budaya pertama yang merangkumi Çanakkale Culture Route Festival, sebelum diperluaskan lagi melalui Beyoğlu Culture Route Festival di Istanbul.
Sambutan yang sangat menggalakkan mendorong kerajaan menambah bandar baharu setiap tahun. Pada tahun 2022, Ankara, Diyarbakır dan Konya turut menyertai program ini. Setahun kemudian, festival berkembang ke 11 bandar termasuk Cappadocia, Trabzon, Erzurum, İzmir, Gaziantep dan Antalya. Kini festival tersebut telah menjadi acara kebangsaan yang merentasi hampir seluruh negara.
Satu lagi pencapaian penting berlaku pada Disember 2023 apabila Türkiye Culture Route Festival diterima sebagai ahli European Festivals Association (EFA), iaitu rangkaian festival seni dan budaya paling berprestij di Eropah.
Keahlian ini bukan sekadar simbol pengiktirafan, malah membuka peluang kerjasama antarabangsa, meningkatkan keyakinan penggiat seni dunia, serta mengangkat imej Türkiye sebagai destinasi budaya bertaraf global.
Bagi edisi 2026, festival ini mencatat sejarah sebagai penganjuran terbesar setakat ini dengan melibatkan 26 bandar sepanjang 234 hari, bermula di Şanlıurfa pada 25 April dan berakhir di Adana pada 15 November. Jumlah ini meningkat dengan ketara berbanding edisi 2025 yang melibatkan 20 bandar sepanjang 180 hari.
Enam bandar baharu, iaitu Aydın, Eskişehir, Kahramanmaraş, Mersin, Ordu dan Sakarya, menyertai festival buat kali pertama, membuktikan komitmen kerajaan Türkiye untuk memperluaskan manfaat ekonomi dan pelancongan budaya ke lebih banyak wilayah di seluruh negara. Menariknya, sebahagian besar program adalah percuma, sekali gus menjadikan seni dan budaya lebih mudah diakses oleh semua.
Bagi pelancong Malaysia, menyertai festival ini juga tidaklah sukar. Anda hanya perlu merancang lawatan mengikut kalendar festival dan memilih bandar yang ingin diterokai.
Bayangkan menikmati konsert pada waktu malam, melawat muzium pada sebelah pagi, menyertai bengkel seni pada waktu petang, kemudian menikmati hidangan tempatan di bandar yang mungkin sebelum ini langsung tidak pernah berada dalam senarai destinasi anda. Itulah pengalaman yang cuba diwujudkan oleh Türkiye melalui festival ini.