
Kalau ada satu masa yang saya paling tunggu setiap tahun di Turkiye, ia adalah minggu pertama bulan Julai. Inilah waktu terbaik untuk melihat ladang lavender di Isparta kerana bunganya sedang berkembang penuh dan mewarnai seluruh kawasan dengan warna ungu yang begitu memukau.
Cuaca juga masih nyaman sebelum musim panas mencapai kemuncaknya. Sebab itu ramai jurugambar dan pelancong sanggup datang dari seluruh dunia hanya untuk menikmati pemandangan yang hanya bertahan beberapa minggu setiap tahun.
Seperti biasa, saya mulakan perjalanan dari Istanbul. Cara paling mudah ialah menaiki penerbangan domestik ke Lapangan Terbang Süleyman Demirel di Isparta, yang mengambil masa kira-kira sejam. Dari situ, saya menyewa kereta dan memandu sekitar 40 minit menuju Kampung Kuyucak, lokasi ladang lavender yang paling terkenal di Turkiye.
Ramai mengenali Isparta sebagai destinasi lavender, tetapi sebenarnya bandar ini sudah lama mendapat gelaran ‘City of Roses’. Sejak kurun ke-19 lagi, Isparta terkenal sebagai pengeluar bunga mawar yang digunakan untuk menghasilkan minyak wangi, air mawar dan pelbagai produk kosmetik.
Lavender pula mula mendapat perhatian beberapa dekad kebelakangan ini sehingga akhirnya menjadi satu lagi identiti penting bandar tersebut. Hari ini, kedua-dua jenis bunga ini menjadi kebanggaan penduduk tempatan.
Apa yang saya suka ialah industri pelancongan di sini benar-benar memberi manfaat kepada penduduk kampung. Di sepanjang jalan, saya melihat gerai kecil yang menjual pelbagai produk hasil mawar dan lavender seperti minyak pati, sabun, lilin aromaterapi, teh, madu, lokum, biskut dan aiskrim lavender.
Saya sendiri selalu beli beberapa botol minyak pati dan sabun sebagai cenderamata. Rasanya lebih bermakna apabila kita tahu setiap pembelian membantu ekonomi keluarga petani di kawasan ini.
Kalau sudah sampai ke Isparta, jangan hanya singgah mengambil gambar di ladang lavender. Luangkan juga masa menikmati Tasik Eğirdir yang terkenal dengan airnya yang jernih, melawat kebun bunga mawar jika musimnya masih ada, atau sekadar menikmati sarapan kampung di kafe-kafe kecil sekitar Kuyucak.
Jika mempunyai masa lebih,anda juga boleh meneruskan perjalanan ke Pamukkale atau Antalya kerana kedua-duanya berada dalam jarak pemanduan yang sederhana dari Isparta. Ramai pelancong memilih untuk menggabungkan ketiga-tiga destinasi ini dalam satu perjalanan kerana setiap satunya menawarkan pengalaman yang sangat berbeza.