+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com
Home > Turkiye Moden > Seni & Budaya

Fenomena San Sebastián Cheesecake di Istanbul

Seperti biasa, kalau ada kelapangan saya suka jalan-jalan di sekitar Menara Galata, tempat yang sentiasa meriah dengan pelancong dan penduduk tempatan. Namun ada satu pemandangan yang benar-benar menarik perhatian saya setiap kali ke sana. Di hadapan sebuah kafe bernama Viyana Kahvesi, hampir semua meja luar dipenuhi pelanggan mereka.

Di atas setiap meja, saya melihat pemandangan yang sama. Sepotong San Sebastián cheesecake berwarna keperangan, secawan çay panas di sebelahnya, dan telefon pintar yang sudah bersedia untuk mengambil gambar. Ada yang merakam video sebelum memotong kek. Ada yang mengangkat cawan teh sambil bergambar dengan latar belakang menara ikonik tersebut.

Melihat suasana itu membuatkan saya tersenyum. Kerana saya masih ingat beberapa tahun lalu, budaya ini hampir tidak wujud di Istanbul. Ketika saya mula tinggal di Türkiye, kebanyakan orang masih memilih pencuci mulut tradisional seperti baklava, sütlaç dan künefe. San Sebastián cheesecake masih belum menjadi fenomena yang memenuhi media sosial dan menu hampir setiap kafe moden di bandar ini.

Menariknya, kek keju yang kini menjadi kegilaan ramai ini sebenarnya bukan berasal dari Türkiye. San Sebastián cheesecake dicipta di restoran La Viña di bandar San Sebastián, wilayah Basque di Sepanyol. Penciptanya ialah Santiago Rivera pada sekitar tahun 1990-an.

Rahsia popularitinya terletak pada cara ia dibakar. Tidak seperti cheesecake biasa yang dibakar perlahan pada suhu sederhana, San Sebastián cheesecake dibakar pada suhu yang sangat tinggi. Hasilnya ialah permukaan luar yang gelap dan karamelnya, seolah-olah hangus. Namun itulah sebenarnya identitinya. Warna gelap tersebut bukan kesilapan, tetapi sengaja dihasilkan untuk memberikan rasa karamel yang unik.

Bahagian tengahnya pula sangat berkrim dan lembut, hampir cair apabila dipotong. Satu lagi perkara yang membezakannya daripada kebanyakan cheesecake lain ialah ia tidak mempunyai lapisan biskut di bahagian bawah.

Masyarakat Istanbul pula memang terkenal dengan kecintaan mereka terhadap makanan manis. Daripada baklava yang dibanjiri sirap gula hinggalah sütlaç yang ditabur serbuk kayu manis, pencuci mulut sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam budaya makanan Turki.

Apabila San Sebastián cheesecake tiba di bandar ini, ia segera mendapat tempat istimewa dalam kalangan pencinta kopi dan pencuci mulut. Walaupun harganya agak mahal, bermula 495TL (tanpa coklat) dan 570 TL (dengan coklat).

Walaupun Viyana Kahvesi sering menjadi pilihan pelancong yang berkunjung ke Galata, ramai penduduk tempatan mempunyai pilihan yang berbeza. Jika anda bertanya kepada pencinta cheesecake di Istanbul, mereka yang akan menyebut B BLOK Bakery di Akaretler, Beşiktaş. Di sinilah ramai penduduk tempatan datang semata-mata untuk menikmati San Sebastián cheesecake yang dianggap antara yang terbaik di bandar ini.

Jika anda berkunjung ke Istanbul hari ini, jangan terkejut apabila melihat orang ramai beratur untuk mendapatkan sepotong kek keju hangus bersama secawan çay panas. Kerana bagi ramai orang di kota ini, kombinasi itu sudah menjadi sebahagian daripada pengalaman menikmati Istanbul moden.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED