
Nama CZN Burak mungkin sudah tidak asing lagi kepada pengguna media sosial, khususnya mereka yang gemar menonton video masakan. Chef dari Türkiye ini terkenal dengan senyumannya yang tidak pernah lekang ketika menyediakan hidangan dalam kuantiti yang luar biasa besar.
Burak Özdemir dilahirkan pada 24 Mac 1994 dan merupakan anak bongsu daripada empat orang adik-beradik. Keluarganya berasal dari Yoncakaya, sebuah perkampungan di daerah Yayladağı, wilayah Hatay. Minatnya terhadap dunia masakan juga mempunyai kaitan dengan latar belakang keluarganya yang sudah lama terlibat dalam perniagaan makanan.
Nama CZN yang digunakan oleh Burak mempunyai kisah tersendiri. Menurut penjelasannya dalam satu temu bual, bapanya pernah memiliki sebuah syarikat tekstil bernama Cinzano di kawasan Laleli, Istanbul. Pelanggan dari Rusia yang berurusan dengan syarikat tersebut sukar menyebut perkataan Cinzano dan sering menyebutnya sebagai ‘Cezene‘. Sebutan itu kemudiannya menjadi sebahagian daripada kehidupan Burak sendiri.
Ketika masih muda, Burak pernah bekerja di sebuah kilang pakaian di Osmanbey walaupun bapanya mempunyai perniagaan sendiri. Lima kali sehari, beliau akan mengambil barangan dari gudang dan menghantarnya ke kawasan Taksim serta Osmanbey menggunakan kereta sorong tangan.
Beliau turut menceritakan bahawa ada orang mempersoalkan mengapa anak orang berada sepertinya sanggup bekerja begitu. Pada waktu itu, beliau meminta orang memanggilnya ‘Cezen’. Nama CZN yang digunakan hari ini merupakan singkatan daripada sebutan tersebut. Baginya, nama itu sentiasa mengingatkan beliau tentang asal-usul dan pengalaman ketika mula bekerja.
Perjalanan Burak dalam dunia restoran bermula pada tahun 2009 apabila beliau bersama keluarganya membuka sebuah restoran bernama Hatay Medeniyetler Lokantası di Aksaray, Istanbul. Restoran tersebut memperkenalkan pelbagai hidangan yang berasal dari Hatay, sebuah wilayah di selatan Türkiye yang terkenal dengan kepelbagaian budaya dan tradisi makanannya.
Popularitinya mula meningkat apabila beliau menggunakan media sosial untuk berkongsi video memasak. Berbeza daripada kebanyakan video masakan yang hanya memfokuskan kepada resipi dan teknik penyediaan, Burak menjadikan proses memasak sebagai satu persembahan.
Beliau sering menyediakan hidangan bersaiz besar, menggunakan bahan dalam kuantiti yang banyak dan pada masa yang sama memandang tepat ke arah kamera sambil tersenyum. Gaya tersendiri ini menjadikannya dikenali sebagai ‘Smiley Bae‘ dalam kalangan pengguna internet.
Keupayaannya menghasilkan kandungan yang mudah difahami tanpa memerlukan penjelasan panjang membolehkan videonya tersebar merentasi negara dan bahasa. Dalam masa beberapa tahun, Burak berubah daripada seorang pengusaha restoran tempatan kepada personaliti internet yang dikenali di peringkat antarabangsa.