
Berapa sebenarnya kadar sewa rumah di Istanbul? Jawapannya bergantung kepada lokasi, saiz rumah, usia bangunan dan fasiliti yang ditawarkan. Secara umumnya, semakin hampir sesebuah kediaman dengan pusat bandar atau stesen metro, semakin tinggi kadar sewanya.
Jenis kediaman juga mempengaruhi kadar sewa dengan ketara. Di Türkiye, apartment biasanya diiklankan menggunakan format seperti 1+1, 2+1 atau 3+1, yang merujuk kepada jumlah bilik tidur dan ruang tamu.
Bagi apartmen satu bilik tidur (1+1), kadar sewa di kawasan premium seperti Beşiktaş, Şişli dan Kadıköy lazimnya bermula sekitar 30,000 TL (~ RM2,600) hingga 50,000 TL (~ RM4,400) sebulan, malah boleh menjadi lebih tinggi bergantung pada keadaan bangunan.
Di kawasan seperti Fatih, Kağıthane atau Üsküdar, kadar sewa biasanya berada dalam lingkungan 25,000 TL (~RM2,200) hingga 40,000 TL (~ RM 3,500).
Jika anda mempunyai bajet yang lebih rendah, daerah seperti Esenyurt, Arnavutköy atau Sultanbeyli masih menawarkan pilihan pada kadar sekitar 15,000 TL (~ RM 1,300) hingga 25,000 TL (~ RM 2,200) sebulan.
Selain lokasi, usia bangunan juga memainkan peranan penting dalam menentukan harga sewa. Selepas beberapa gempa bumi besar melanda Türkiye dalam beberapa tahun kebelakangan ini, permintaan terhadap bangunan yang lebih baharu dan mematuhi piawaian pembinaan terkini meningkat dengan ketara.
Perlu juga diingat bahawa kadar sewa yang diiklankan bukan semestinya harga yang akan dibayar oleh penyewa. Dalam banyak keadaan, masih terdapat ruang untuk berunding, terutamanya jika rumah tersebut telah lama berada di pasaran atau pemilik ingin mendapatkan penyewa untuk tempoh yang panjang. Sebaliknya, bagi rumah yang berada di lokasi strategik dan mempunyai permintaan tinggi, pemilik lazimnya kurang bersedia untuk menurunkan harga.
Sebelum membuat keputusan, jangan hanya membandingkan kadar sewa semata-mata. Ambil kira juga kos pengangkutan harian, yuran penyelenggaraan bangunan (aidat), akses kepada pengangkutan awam dan kemudahan di sekitar kawasan tersebut.
Ada kalanya membayar sewa yang sedikit lebih tinggi di kawasan yang strategik sebenarnya lebih menjimatkan dalam jangka panjang kerana anda dapat mengurangkan masa perjalanan dan kos pengangkutan setiap hari.