+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

Siapa Mustafa Kemal Atatürk di Mata Orang Turki

Setiap kali saya berjalan di sekitar Istanbul, saya perasan sesuatu yang menarik, gambar Mustafa Kemal Atatürk ada di mana-mana. Di jalan, di bangunan, di kedai, malah di dalam rumah. Kadang-kadang gambarnya berpakaian tentera, kadang berbaju kemas seperti pemimpin moden.

Dari situ saya mula tertanya, siapa sebenarnya Atatürk, dan kenapa orang Turki sangat menghormatinya?

Atatürk – yang bermaksud “Bapa Orang Turki”, lahir pada tahun 1881 di Thessaloniki, masa tu masih dalam Empayar Uthmaniyyah. Dia seorang askar yang cemerlang, bijak dan tegas.

Namanya mula terkenal masa Perang Dunia Pertama, bila dia mengetuai pertahanan Gallipoli dan berjaya menghalang tentera Barat daripada menawan tanah mereka. Kemenangan itu buat dia jadi wira negara.

Lepas perang tamat, kuasa Barat cuba bahagi-bahagikan wilayah Uthmaniyyah yang dah lemah. Tapi Atatürk tak berdiam diri. Dia pimpin rakyat bangkit lawan penjajahan, satukan pelbagai kumpulan tempatan, dan akhirnya berjaya pertahankan tanah air mereka. Dari perjuangan itulah lahir semangat kemerdekaan Turki yang baru.

Yang menarik, Atatürk bukan sekadar nak halau penjajah. Dia juga percaya sistem lama Uthmaniyyah dah tak sesuai untuk dunia moden. Jadi pada tahun 1923, dia hapuskan sistem kesultanan dan tubuhkan Republik Türkiye, menandakan berakhirnya zaman 600 tahun pemerintahan Uthmaniyyah. Keputusan itu bukan kecil, tapi itulah titik mula kepada era baru.

Sebagai presiden pertama, Atatürk buat banyak pembaharuan besar. Tulisan Arab ditukar kepada tulisan Latin, undang-undang baru diperkenalkan, pendidikan digalakkan untuk lelaki dan wanita, dan pakaian moden diperkenal sebagai simbol kemajuan. Dia nak jadikan Turki sebuah negara moden yang boleh berdiri sama tinggi dengan dunia Barat, tapi tetap berakar dari sejarah sendiri.

Sampai hari ini, penghormatan terhadap Atatürk masih hidup dalam jiwa rakyat Turki. Setiap 10 November jam 9:05 pagi, waktu Atatürk menghembuskan nafas terakhir, seluruh negara akan berhenti seketika. Kereta berhenti di tengah jalan, orang berdiri tegak, dan suasana jadi sunyi. Bagi mereka, Atatürk bukan sekadar tokoh sejarah, tapi simbol kepada keberanian dan perpaduan bangsa.

Pengaruh Atatürk masih jelas terasa dalam kehidupan seharian orang Turki. Nilai disiplin, semangat berdikari dan bangga dengan identiti bangsa masih kuat dalam cara mereka bekerja dan berinteraksi.

Dalam sistem pendidikan, setiap murid belajar tentang perjuangan Atatürk sejak kecil. Di pejabat kerajaan dan sekolah, potret beliau tergantung megah, bukan atas paksaan, tapi sebagai tanda hormat. Ia menunjukkan bagaimana seorang pemimpin yang sudah lama tiada, masih mampu membentuk cara berfikir generasi hari ini.

Sebagai pelancong, saya rasa penting untuk kita faham kenapa mereka begitu menghargai beliau. Bila nampak gambarnya tergantung di mana-mana, ingatlah itu bukan sekadar gambar seorang lelaki, tapi simbol kepada kebangkitan seluruh bangsa Turki.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED