
Kokoreç merupakan salah satu makanan jalanan yang cukup popular di Türkiye, diperbuat daripada usus kambing atau biri-biri yang dibersihkan sebelum dililit berlapis-lapis pada lidi panjang. Ia kemudian dipanggang sehingga masak dan berwarna keperangan.
Apabila dipesan, kokoreç akan dicincang kecil menggunakan dua bilah pisau besar sebelum dimasak sekali lagi bersama rempah seperti kekik, kimyon dan pul biber. Hasilnya ialah hidangan yang mempunyai aroma tersendiri dan biasanya disajikan di dalam roti.
Kebanyakan orang tempatan menikmatinya di kedai khusus atau gerai kecil yang boleh ditemui di sekitar bandar. Tidak ramai yang menyediakannya sendiri di rumah kerana proses membersihkan usus dan penyediaannya agak rumit. Malah, bagi sesetengah orang Turki, menikmati kokoreç di luar bersama rakan-rakan sudah menjadi satu kebiasaan, khususnya selepas keluar bersosial atau pada lewat malam.
Kokoreç biasanya dinikmati bersama minuman yang dapat melengkapkan rasa hidangan tersebut. Antara pilihan paling popular ialah ayran, minuman berasaskan yogurt yang mempunyai rasa sedikit masam dan menyegarkan. Ada juga yang gemar meminumnya bersama turşu suyu, iaitu air jeruk sayur yang mempunyai rasa masam dan masin.
Bagi saya, bunyi titisan minyak daripada usus yang sedang dipanggang jatuh ke atas bara api, diikuti bunyi desiran dan kepulan asap, memberikan suasana yang cukup unik. Aroma lemak kambing yang bercampur dengan rempah pula mula memenuhi ruang sekeliling dan boleh membuatkan sesiapa sahaja yang lalu-lalang terasa ingin mencubanya.
Bagi pelancong yang pertama kali melihat kokoreç, rupa hidangan ini mungkin agak kurang menyelerakan apabila mengetahui bahawa ia diperbuat daripada usus kambing. Namun, tidak kurang juga yang berubah fikiran selepas memberanikan diri untuk mencuba. Rasa berlemak, tekstur sedikit kenyal dan aroma panggangan yang kuat membuatkan Kokoreç sebenarnya jauh lebih menarik daripada rupa asalnya.
Sekiranya anda berada di Istanbul dan ingin mencuba kokoreç, terdapat beberapa kedai yang boleh dimasukkan dalam senarai kunjungan. Antaranya ialah Kral Kokoreç di Sirkeci, Güneş Kokoreç di Üsküdar dan Reks Kokoreç di Kadıköy.
Ketiga-tiga kawasan ini mempunyai suasana tersendiri dan mudah dikunjungi ketika meneroka bandar Istanbul. Saya mencadangkan anda mencuba Kokoreç sekurang-kurangnya sekali sepanjang berada di Türkiye, kerana pengalaman menikmati makanan jalanan ini merupakan sebahagian daripada budaya tempatan yang menarik untuk dikenali.