
Setiap kali saya berjalan dari Fatih ke Beyoğlu, saya terasa seolah-olah menyeberangi bukan sekadar jambatan, tetapi juga masa. Dua kawasan ini berjiran, hanya dipisahkan oleh Golden Horn, namun gaya hidup, seni bina, dan suasananya berbeza seperti dua dunia yang berasingan.
Fatih – Jiwa Lama Uthmaniyyah
Perjalanan saya biasanya bermula di Fatih (saya tinggal di sini), kawasan yang menjadi nadi pemerintahan Empayar Uthmaniyyah selepas Sultan Mehmed II (al-Fatih) menawan Constantinople pada tahun 1453. Di sinilah baginda membina masjid, madrasah, dan pasar. Menjadikan Fatih pusat ilmu dan agama bagi empayar baru itu.
Hari ini, semangat lama itu masih hidup. Lorong-lorong sempitnya dipenuhi kedai menjual tasbih, kitab, periuk tembaga, dan minyak wangi tradisional. Lelaki tua duduk di tepi jalan menikmati çay sambil berbual panjang tentang politik dan bola sepak, seolah-olah masa tidak pernah berubah.
Langit Fatih dihiasi kubah dan menara masjid seperti Masjid Fatih dan Masjid Süleymaniye, ciptaan arkitek agung Mimar Sinan. Di sinilah suara azan bergema dari pagi hingga malam, menyelimuti kota dengan ketenangan yang sukar dijumpai di tempat lain.
Menyeberangi Galata Bridge
Dari situ, saya menaiki tram ke Eminönü dan melintasi Galata Bridge, jambatan yang menghubungkan dua dunia. Di atasnya, para pemancing berdiri rapat menarik ikan kecil sambil berbual sesama mereka. Di bahagian tengah jambatan dipenuhi dengan restoran makanan laut, dan dibawahnya terdapat pelantar untuk pengunjung bergambar.
Selepas jambatan, tibalah saya di Karaköy, pelabuhan lama yang kini menjadi kawasan moden penuh dengan kafe dan galeri seni. Di sinilah Istanbul mula beralih wajah, daripada keagamaan dan tradisi di Fatih, kepada kreativiti dan gaya hidup moden di tebing seberang.
Naik Funikuler ke Beyoğlu
Dari Karaköy, saya menaiki Tünel, sistem funikuler bawah tanah yang dibina pada tahun 1875, antara yang tertua di dunia. Perjalanannya singkat, hanya dua minit, tetapi terasa seperti bergerak dari zaman Uthmaniyyah terus ke Eropah abad ke-19.
Sebaik pintu dibuka, saya melangkah ke Jalan İstiklal, nadi utama Beyoğlu. Dahulu kawasan ini dikenali sebagai Pera, tempat kedutaan asing, pedagang Eropah, dan golongan elit Uthmaniyyah bergaul.
Itu sebabnya seni binanya penuh dengan pengaruh Perancis, Itali, dan Greek. Bangunan gaya Art Nouveau berdiri megah, teater lama dan gereja masih kekal di celah-celah kedai kopi moden.
Saya sering singgah di Mandabatmaz untuk menikmati kopi Turki yang sangat pekat, atau membaca buku di Salt Galata, sebuah bank Uthmaniyyah lama yang kini menjadi perpustakaan dan ruang seni moden.
Dua Jiran, Dua Dunia
Menariknya, jarak antara Fatih dan Beyoğlu hanya sekitar tiga kilometer sahaja. Namun dari segi sejarah dan jiwa, ia terasa jauh berabad-abad.
Fatih melambangkan tradisi dan keagamaan, warisan Uthmaniyyah yang masih utuh.
Beyoğlu pula mencerminkan pembaharuan dan keterbukaan, tempat di mana budaya Eropah mula bertapak di tanah Turki.