
Terletak beberapa kilometer di barat Trigleia, di pesisir Bithynia yang menghadap Laut Marmara (Propontis), Biara St. John of Pelekete merupakan antara tinggalan penting era Byzantine yang berkait rapat dengan konflik Ikonoklasme.
Hari ini, kawasan Trigleia dikenali sebagai Tirilye di wilayah Bursa. Dari Hagia Sophia İznik, perjalanan ke tapak biara ini mengambil masa kira-kira satu jam dengan pemanduan sejauh sekitar 70 kilometer, menjadikannya satu lagi destinasi bersejarah yang saling berkaitan dalam kisah pergolakan agama Kristian.
Pada kemuncaknya, biara ini merupakan sebuah kompleks keagamaan yang besar. Ia dihuni oleh lebih daripada 40 orang rahib dan mempunyai lebih daripada sebuah gereja di dalam kawasannya. Namun, sekitar tahun 764, biara ini menjadi sasaran kempen Ikonoklasme apabila gabenor Theme Thrakesion, Michael Lachanodrakon, memusnahkannya kerana penentangan para rahib terhadap dasar yang melarang penghormatan kepada ikon.
Selepas serangan tersebut, ramai rahib dari Pelekete ditangkap dan diseksa. Menurut sumber Byzantine, sebahagian daripada mereka akhirnya dibawa ke Ephesus sebelum dihukum mati dengan cara yang amat kejam, iaitu ditanam hidup-hidup.
Menjelang penghujung abad ke-8, selepas dasar Ikonoklasme mula berubah, Biara Pelekete kembali dipulihkan. Seorang tokoh bernama Makarios memainkan peranan penting dalam kebangkitan semula biara ini.
Beliau pada mulanya berkhidmat sebagai penulis manuskrip (scribe), kemudian sebagai oikonomos, iaitu pegawai yang mengurus pentadbiran dan kewangan biara, sebelum akhirnya dilantik sebagai hegoumenos atau ketua biara.
Namun, keamanan itu tidak berkekalan. Apabila gelombang kedua Ikonoklasme bermula sekitar tahun 814, Makarios dipaksa meninggalkan Pelekete. Beliau ditangkap, dipenjarakan dan dibuang negeri kerana enggan menerima dasar baharu pemerintah. Walaupun kehilangan pemimpin mereka, para rahib di Pelekete terus mempertahankan penghormatan terhadap ikon dan meneruskan penentangan terhadap Ikonoklasme sepanjang tempoh tersebut.
Selepas abad ke-9, nama Pelekete hampir lenyap daripada rekod Byzantine. Selama beberapa abad, tiada banyak maklumat yang diketahui mengenai biara ini. Ia hanya muncul semula dalam sumber sejarah pada abad ke-17dan ke-18, menandakan bahawa tapak tersebut masih dikenali walaupun peranannya sebagai pusat kehidupan monastik telah lama berakhir.
Biara ini dipulihkan sebanyak dua kali pada abad ke-19. Pemulihan pertama dilakukan selepas gempa bumi besar pada tahun 1855, manakala pemulihan kedua menyusul selepas kebakaran pada tahun 1880. Malangnya, memasuki awal abad ke-20, bangunan bersejarah ini tidak lagi digunakan sebagai rumah ibadat, sebaliknya dijadikan ladang ternakan ayam dan akhirnya terbiar ditelan zaman.