
Pengenalan saya kepada Bandar Purba Ephesus bermula dengan keinginan untuk melarikan diri daripada musim sejuk di Istanbul sebenarnya. Saya tiba di İzmir, sebuah bandar pesisir moden di Laut Aegean, selepas penerbangan yang mengambil masa lebih kurang satu jam. Dari İzmir, perjalanan diteruskan ke arah selatan menuju Selçuk, sebuah pekan yang kelihatan sederhana hari ini, namun terletak di sisi salah satu kota paling berpengaruh dalam dunia purba.
Pada zaman kuno, Ephesus terletak berhampiran muara Sungai Cayster, yang kini dikenali sebagai Küçük Menderes, dan menghadap terus ke Laut Aegean. Kawasan yang hari ini menjadi tanah pertanian suatu ketika dahulu merupakan pelabuhan yang sibuk, menghubungkan pedalaman Anatolia dengan dunia Mediterranean. Dataran subur di sekitar Selçuk hari ini serta akses semula jadi ke laut menjadikan kawasan ini tempat yang ideal untuk penempatan, jauh sebelum jalan marmar dan gerbang besar dibina.
Penempatan Yunani (Greek kuno) di Ephesus bermula sekitar abad ke-11 hingga ke-10 SM, ketika gelombang migrasi orang Yunani Ionia bergerak ke pantai barat Anatolia selepas kejatuhan tamadun Mycenaean di tanah besar Greece. Menurut tradisi kuno, Ephesus diasaskan oleh Androclus, putera kepada Raja Codrus dari Athens, sekitar tahun 1050 SM.
Mereka tidak tiba sebagai penjelajah ke tanah kosong, sebaliknya menetap di kawasan yang telah lama didiami oleh komuniti tempatan Anatolia. Melalui gabungan perdagangan, perkahwinan, dan kuasa politik, penempatan Yunani ini akhirnya membentuk Ephesus sebagai sebuah kota Ionia yang penting, menghubungkan dunia Yunani dengan Anatolia dan membuka jalan kepada kemunculan budaya, kepercayaan, dan struktur bandar yang akan berkembang pesat pada abad-abad berikutnya.
Ketika saya berjalan di sekitar kawasan ini, semakin jelas bahawa landskapnya tidak pernah benar-benar tetap. Sungai yang sama memberi kehidupan kepada wilayah ini juga membawa mendapan (silt) dari kawasan tinggi, perlahan-lahan mengubah garis pantai selama berabad-abad. Laut semakin menjauh, pelabuhan berpindah, dan Ephesus akhirnya terpisah daripada perairan yang suatu ketika dahulu membawa kekayaan kepadanya. Alam semulajadi, sama seperti empayar dan tamadunnya, membentuk takdir kota ini.
Daripada tanah yang sentiasa berubah berhampiran Selçuk moden inilah, Ephesus muncul sebagai salah satu kota paling berpengaruh di dunia purba. Orang Yunani membentuk asas kotanya, Rom mengembangkannya menjadi pusat empayar, dan Kristian kemudian memberi makna baharu kepada peranannya. Dalam tulisan seterusnya, kita akan bermula dengan lapisan terawal itu dan melihat bagaimana Ephesus muncul sebagai sebuah kota Yunani Ionia, sebelum sejarahnya terus berubah.