
Ramai pelancong beranggapan bahawa Istanbul memerlukan teksi atau kereta sewa untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Sebenarnya, sistem pengangkutan awam di bandar ini sangat efisien dan mampu membawa anda ke hampir semua lokasi pelancongan utama.
Itinerari ini ialah cara yang saya sendiri untuk menikmati keindahan Istanbul. Saya tidak suka perjalanan yang terlalu padat sehingga hanya sempat bergambar sebelum bergegas ke destinasi seterusnya.
Saya lebih gemar berjalan perlahan, menikmati suasana bandar, memerhati kehidupan masyarakat tempatan, singgah di kafe, merakam gambar dan video, serta memberi ruang untuk benar-benar menghayati setiap lokasi yang dilawati. Jika ini juga gaya percutian anda, itinerari ini mungkin sesuai dijadikan panduan.
Hari 1: Sultanahmet & Kebap Pertama di Istanbul
Mulakan hari seawal mungkin di Basilica Cistern (Yerebatan Sarnıcı) kerana barisan pelawat akan menjadi sangat panjang selepas jam 10 pagi. Selepas selesai melawat, berjalan kaki ke Hagia Sophia dan jika waktunya bertepatan, tunaikan solat Zuhur di salah satu masjid paling bersejarah di dunia.
Naiki tram ke Fındıkzade untuk makan tengah hari di Bizim Durum Kebap Salonu. Pada pendapat saya, hari pertama di Istanbul memang wajib mencuba kebap yang autentik. Restoran ini menjadi pilihan kerana rasanya sangat sedap, dan harganya juga berpatutan.
Selepas makan, kembali semula ke Sultanahmet menggunakan tram. Luangkan waktu petang melawat Masjid Biru (Blue Mosque) sebelum mengakhiri hari dengan membeli belah di Arasta Bazaar.
Hari 2: Dolmabahçe, Taksim & İstiklal Caddesi
Naiki Tram T1 sehingga ke hentian terakhir di Kabataş. Dari sini, berjalan kaki ke Dolmabahçe Camii sebelum berehat sebentar di Saat Kule Kafeterya. Saya sangat mengesyorkan menikmati secawan teh Turki atau kopi sambil melihat pemandangan Bosphorus. Suasana pagi di sini cukup menenangkan.
Seterusnya, luangkan beberapa jam melawat Istana Dolmabahçe, antara istana paling mewah pernah dibina oleh Empayar Uthmaniyyah. Selepas selesai, gunakan Funikular Kabataş – Taksim untuk naik ke Dataran Taksim tanpa perlu mendaki bukit yang agak curam.
Untuk makan tengah hari, singgah di Balkan Lokantası Taksim dan cuba nasi putih dengan hidangan campur yang menawarkan pelbagai masakan tradisional Turki. Selepas itu, berjalan santai sepanjang İstiklal Caddesi, singgah di kedai buku, kedai pencuci mulut dan Lorong-lorong kecil yang penuh dengan karya seni. Pada waktu petang, kembali ke Kabataş menggunakan funikular sebelum menaiki tram pulang ke Sultanahmet.
Hari 3: Panorama 1453 & Keindahan Süleymaniye
Hari ketiga dimulakan dengan menaiki Tram T1 ke Topkapı untuk melawat Panorama 1453 History Museum. Muzium ini memberikan pengalaman yang sangat menarik tentang penaklukan Constantinople oleh Sultan Mehmed II melalui panorama 360 darjah yang sangat mengagumkan.
Selepas itu, teruskan ke Fındıkzade untuk makan tengah hari di Zafer Uyghur Restaurant. Restoran ini terkenal dengan masakan Uyghur yang halal dan menjadi pilihan ramai penduduk tempatan.
Kemudian, naik tram ke Laleli sebelum berjalan kaki menuju Masjid Süleymaniye. Dalam perjalanan, jangan lepaskan peluang menikmati pencuci mulut di Süleymaniye Çikolatacısı.
Selepas melawat masjid yang dibina oleh arkitek agung Mimar Sinan, tamatkan hari dengan makan malam di Mimar Sinan Roof, sebuah restoran yang menawarkan pemandangan indah Golden Horn ketika matahari mula terbenam.
Hari 4: Karaköy, Galataport & Galata
Naiki Tram T1 ke Karaköy dan mulakan pagi dengan menikmati kopi di salah sebuah kafe di sepanjang jeti Karaköy. Kawasan ini menjadi antara lokasi kegemaran saya untuk melihat kehidupan harian warga Istanbul sambil menikmati angin dari Selat Bosphorus.
Sebelum berjalan ke Galataport, cuba balık dürüm, iaitu roti berinti ikan bakar yang menjadi makanan jalanan terkenal di kawasan ini. Selepas menikmati suasana moden di Galataport, singgah makan tengah hari di Saltbae Burger.
Dalam perjalanan pulang ke Karaköy, jangan lupa singgah di Karaköy Güllüoğlu, antara tempat terbaik menikmati baklava di Istanbul. Akhir sekali, naik Tünel, sistem kereta api bawah tanah tertua di Türkiye, sebelum berjalan ke Galata Tower.Duduk sebentar di café Viyana Kahvesi untuk mencuba sepotong San Sebastian Cheesecake. Setelah selesai, kembali semula ke Sultanahmet menggunakan pengangkutan awam.
Hari 5: Eyüp Sultan & Balat
Naiki Tram T1 ke Eminönü sebelum bertukar ke Tram T5 menuju Eyüp Sultan. Dari sini, teruskan perjalanan dengan menaiki kereta kabel ke Pierre Loti Café, salah satu lokasi terbaik menikmati panorama Golden Horn. Duduk sebentar sambil menikmati kopi Turki dan suasana yang cukup damai.
Selepas turun semula, lawati Masjid Eyüp Sultan, sebuah lokasi yang sangat penting dalam sejarah Islam di Istanbul. Ramai penduduk tempatan datang ke sini untuk berdoa dan menikmati suasana yang lebih tenang berbanding kawasan pelancongan utama.
Kemudian, naik Tram T5 ke arah Balat. Untuk makan tengah hari, saya mengesyorkan Maridin Kebap & Pide House yang terkenal dengan hidangan kebap dan pide yang lazat. Selepas makan, berjalan santai melihat Rumah Berwarna-warni Balat, Renkli Merdivenler, dan singgah berehat di Naftalin Cafe sebelum menaiki tram pulang ke Sultanahmet melalui Eminönü.
Hari 6: Grand Bazaar, Spice Bazaar dan Bosphorus Tour
Mulakan hari dengan menaiki Tram T1 ke Grand Bazaar, antara pasar berbumbung terbesar dan tertua di dunia. Luangkan masa melihat pelbagai kedai menjual permaidani, lampu, seramik dan cenderamata sebelum menikmati pencuci mulut di Hafız Mustafa, salah satu jenama manisan paling terkenal di Türkiye.
Kemudian, naik tram ke Sirkeci untuk makan tengah hari di Şehzade Cağ Kebap, restoran yang cukup popular dengan hidangan cağ kebap dari Erzurum. Selepas makan, berjalan kaki menuju Yeni Camii dan seterusnya ke Spice Bazaar untuk membeli rempah, teh, dan Turkish delight untuk dibawa pulang.
Pada sebelah petang, tamatkan perjalanan anda dengan menaiki Bosphorus Cruise Tour. Bagi saya, pelayaran di Selat Bosphorus merupakan cara terbaik untuk mengakhiri percutian di Istanbul kerana anda dapat melihat keindahan bandar ini dari perspektif yang sama sekali berbeza.
Hari 7: Free & Easy
Saya sengaja tidak memenuhi hari terakhir dengan terlalu banyak aktiviti. Gunakan hari ini untuk kembali ke lokasi yang paling anda gemari sepanjang percutian, membeli cenderamata yang masih belum sempat dibeli, menikmati kafe pilihan anda, atau sekadar berjalan tanpa arah di sekitar bandar.
Siapa Yang Sesuai Menggunakan Itinerari Ini?
Itinerari ini direka khas untuk pelancong yang menginap berhampiran laluan Tram T1 seperti Sultanahmet, Beyazıt, Laleli, Aksaray atau Sirkeci. Saya menggunakan Sultanahmet sebagai titik permulaan kerana ia merupakan kawasan yang paling popular dalam kalangan pelancong Malaysia, namun anda boleh menyesuaikannya mengikut lokasi penginapan masing masing. Dengan sedikit perancangan dan penggunaan Istanbulkart, anda boleh menikmati hampir keseluruhan bandar tanpa memerlukan teksi atau kereta sewa.