
Jika anda merancang percutian ke Türkiye, cuba elakkan datang ketika cuti umum (public holidays) mereka, terutamanya jika tujuan anda adalah untuk bersiar-siar dengan santai, mengambil gambar cantik dan menikmati suasana bandar tanpa kesesakan.
Ini kerana apabila cuti umum tiba, seluruh warga Istanbul seolah-olah keluar dari rumah dengan serentak. Semua jenis pengangkutan awam pula percuma untuk penduduk tempatan.
Bagi mereka, cuti umum bukan sekadar hari untuk berehat. Ia adalah masa untuk melawat keluarga, bertemu saudara-mara, membeli-belah atau sekadar menikmati hari bersama rakan-rakan di bandar.
Akibatnya, kawasan pelancongan utama seperti Sultanahmet, Eminönü, Karaköy, Üsküdar dan tarikan pelancong sepanjang Bosphorus akan menjadi jauh lebih sesak berbanding hari biasa.
Tarikh Cuti Umum Turki Tahun 2027
Berikut adalah beberapa cuti umum utama di Türkiye pada tahun 2027:
• 1 Januari 2027: Sambutan Tahun Baru (Yılbaşı)
• 9 – 11 Mac 2027: Hari Raya Aidilfitri (Ramazan Bayramı)
• 23 April 2027: Hari Kedaulatan Negara dan Hari Kanak-Kanak (Ulusal Egemenlik ve Çocuk Bayramı)
• 1 Mei 2027: Hari Buruh dan Solidariti (Emek ve Dayanışma Günü)
• 16 – 18 Mei 2027: Hari Raya Haji (Kurban Bayramı)
• 19 Mei 2027: Hari Memperingati Atatürk, Belia dan Sukan (Atatürkü Anma, Gençlik ve Spor Bayramı)
• 15 Julai 2027: Hari Demokrasi dan Perpaduan Negara (Demokrasi ve Milli Birlik Günü)
• 30 Ogos 2027: Hari Kemenangan (Zafer Bayramı)
• 29 Oktober 2027: Hari Republik (Cumhuriyet Bayramı)
Jadi, Perlu Elak Atau Tidak?
Jawapannya bergantung kepada jenis pengalaman yang anda cari.
Jika anda mahukan percutian yang tenang, kurang beratur dan lebih mudah mendapatkan tempat di restoran atau kafe, saya cadangkan elakkan tarikh-tarikh ini.
Namun, jika anda ingin melihat bagaimana rakyat Turki menyambut hari-hari penting mereka, merasai suasana patriotik, melihat bandar dipenuhi bendera merah Turki dan menyaksikan sambutan yang jarang dapat dilihat oleh pelancong biasa, maka datanglah pada waktu tersebut.