+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

102 Tahun Republik Türkiye: Jejak Keberanian dan Kebangkitan Bangsa

Semalam, suasana Istanbul terasa luar biasa hidup. Dari sini hingga ke Ankara, bendera merah bulan sabit berkibar di setiap bangunan, balkoni dan jalanan.

Ini bukan sekadar cuti umum bagi rakyat Türkiye, ia adalah Hari Republik. Hari untuk memperingati detik bersejarah pada 29 Oktober 1923, ketika Mustafa Kemal Atatürk memproklamasikan penubuhan Republik Türkiye, menggantikan sistem Kesultanan Uthmaniyyah yang telah bertahan selama lebih 600 tahun.

Sehari sebelum itu, pada 28 Oktober 1923, Atatürk dengan penuh keyakinan mengumumkan kepada para pemimpin dan tenteranya,

“Yarın Cumhuriyeti ilan edeceğiz”

(Esok kita akan mengisytiharkan republik)

Kata-kata itu menandakan permulaan era baharu dan komitmen terhadap nilai-nilai kebebasan, kemajuan, dan perpaduan yang masih menjadi tunjang Türkiye hingga hari ini. Dari detik bersejarah itulah lahir sebuah negara moden dengan semangat baharu: bebas, berdikari, dan berasaskan prinsip rakyat untuk rakyat.

Dua tahun kemudian, pada 2 Februari 1925, Kementerian Luar Türkiye mengusulkan agar 29 Oktober dijadikan cuti kebangsaan rasmi. Cadangan itu diterima, dan pada April tahun yang sama, Parlimen meluluskan undang-undang yang menetapkan tarikh ini secara rasmi sebagai Hari Republik Türkiye. Sejak itu, setiap tahun, rakyat Türkiye menyambutnya dengan penuh kebanggaan dan rasa syukur.

Sebelum sampai ke tahap ini, Türkiye telah melalui tempoh getir dalam sejarahnya. Dalam perang menentang Greek yang menduduki wilayah barat Anatolia, Türkiye berjuang hampir empat tahun lamanya, namun akhirnya meraih kemenangan besar pada Ogos 1922. Kemenangan itu bukan sekadar ketenteraan, tetapi simbol kebangkitan bangsa selepas kejatuhan Empayar Uthmaniyyah.

Dalam masa yang sama, ketika berhadapan dengan Britain dan sekutunya, Atatürk dan para pemimpin Türkiye memilih strategi yang lebih halus, iaitu melalui diplomasi. Mereka memperkukuh hubungan dengan Kesatuan Soviet dan kemudian Perancis, bagi mengasingkan Britain secara politik. Pendekatan ini membuahkan hasil, membuka jalan kepada pengiktirafan antarabangsa terhadap kedaulatan Türkiye moden.

Türkiye yang baharu, dengan pengisytiharan Republik dan Perjanjian Lausanne pada tahun 1923, terus berdepan ancaman kuasa luar sepanjang dekad berikutnya: Britain sehingga pertengahan 1920-an, Itali dan Jerman pada 1930-an dan awal 1940-an, serta Kesatuan Soviet sepanjang era Perang Dingin. Negara muda ini belajar menyesuaikan diri, mempertahankan kemerdekaannya dalam dunia yang terus bergolak.

Ramai mungkin berbeza pandangan tentang Atatürk, namun tidak dapat dinafikan bahawa tanpa kepimpinannya, Türkiye mungkin tidak akan wujud seperti hari ini. Ketika kuasa-kuasa asing cuba membahagi-bahagikan tanah Anatolia selepas Perang Dunia Pertama, Atatürk tampil sebagai tokoh utama yang menyatukan rakyat, mengatur strategi ketenteraan, dan memastikan tanah airnya kekal berdaulat.

Beliau bukan sekadar pengasas republik — tetapi pelindung kepada maruah dan kebebasan bangsa Türkiye.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED