
Turkiye mempunyai beberapa cuti umum yang penting dan disambut di seluruh negara. Salah satunya ialah 19 Mei, yang dikenali sebagai Hari Memperingati Atatürk, Belia dan Sukan.
Pada hari tersebut, sekolah, institusi kerajaan dan banyak tempat kerja ditutup, manakala pengangkutan awam disediakan secara percuma untuk rakyat tempatan. Ramai mengambil peluang ini untuk bercuti, menziarahi keluarga, berkelah atau meluangkan masa membeli-belah serta berehat.
Semasa Perang Dunia Pertama, Empayar Uthmaniyyah berada dalam keadaan yang semakin mencabar. Empayar tersebut menyertai perang di pihak Jerman dan sekutunya dengan harapan dapat mengembalikan wilayah yang hilang serta mengukuhkan pengaruhnya.
Namun peperangan yang berpanjangan telah melemahkan empayar dari segi ekonomi dan ketenteraan. Kekalahan dalam perang juga membuka ruang kepada rancangan kuasa asing untuk menguasai sebahagian wilayah Anatolia.
Dalam keadaan genting ini, Mustafa Kemal Atatürk muncul sebagai tokoh penting dalam gerakan kebangsaan. Pada 19 Mei 1919, beliau tiba di Samsun dari Istanbul dengan tugas rasmi untuk memulihkan keamanan.
Ketibaannya menandakan bermulanya Perjuangan Nasional menentang kuasa asing, terutamanya British. Gerakan ini kemudian berkembang menjadi Perang Kemerdekaan Turki yang akhirnya membawa kepada penubuhan Turkiye moden.
Sambutan ini juga dikenali sebagai Hari Belia dan Sukan kerana Atatürk mendedikasikan hari yang bermakna ini kepada golongan muda di Turkiye. Beliau percaya bahawa generasi muda akan memikul tanggungjawab untuk melindungi dan membangunkan negara pada masa hadapan.
19 Mei turut diputuskan sebagai tarikh simbolik hari lahir Atatürk, sekali gus memberikan makna yang lebih mendalam kepada sambutan ini. Oleh sebab tarikh kelahiran sebenar Atatürk tidak direkodkan secara rasmi, beliau sendiri menerima 19 Mei sebagai hari lahir simboliknya kerana kepentingan tarikh tersebut dalam sejarah Turkiye.
Hari ini, semangat 19 Mei terus diraikan di seluruh Turkiye dengan penuh rasa bangga dan perpaduan. Ramai orang mengunjungi Anıtkabir, makam Atatürk di Ankara, bagi memberi penghormatan serta mengenang jasa beliau kepada negara.