
Jika suatu ketika dahulu budaya kopi di Istanbul bertumpu di sekitar kedai kopi tradisional yang menyajikan kopi Turki dalam cawan kecil (kahvehane), hari ini pemandangannya jauh berbeza. Di hampir setiap daerah, daripada Karaköy dan Galata hingga ke Kadıköy dan Beşiktaş, kafe moden menjadi sebahagian daripada kehidupan harian golongan muda.
Istanbul bukan sahaja sebuah bandar yang kaya dengan sejarah dan budaya. Ia juga merupakan salah satu bandar dengan industri kafe yang paling aktif di Eropah dan Timur Tengah. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pertumbuhan kafe moden, roaster kopi dan jenama francais tempatan telah mengubah cara generasi muda berinteraksi, bekerja dan menghabiskan masa lapang.
Pasaran kopi negara ini masih berkembang dan bilangan outlet berjenama melepasi 3,800 lokasi pada tahun 2025.
Pertumbuhan ini didorong oleh beberapa faktor. Istanbul mempunyai populasi lebih 16 juta penduduk, menerima jutaan pelancong setiap tahun dan mempunyai komuniti pelajar universiti yang sangat besar. Selain itu, budaya ‘melepak sambil minum kopi’ mula menggantikan budaya ‘meeting’ di rumah atau pejabat.
Bagi ramai anak muda di Istanbul, kafe bukan lagi sekadar tempat membeli kopi. Ia berfungsi sebagai ruang sosial, ruang kerja dan kadangkala menjadi ‘ruang tamu kedua’. Harga sewa rumah yang semakin tinggi menyebabkan ramai tinggal bersama keluarga atau berkongsi rumah dengan rakan. Akibatnya, kafe menjadi tempat yang lebih selesa untuk bertemu, belajar atau bekerja.
Lima rangkaian franchise kopi yang terbesar di Turkiye Ketika ini adalah Starbucks, Kahve Dünyası, Espressolab, Gloria Jean’s, dan Nevada Coffee.
Starbucks kekal sebagai pemain terbesar dengan lebih 700 cawangan di Türkiye, manakala jenama tempatan seperti Kahve Dünyası dan Espressolab berkembang dengan sangat agresif dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Hari ini, secawan latte di kebanyakan kafe moden berharga sekitar 150 hingga 250 Lira Turki, bersamaan kira-kira RM 14 hingga RM23. Di sesetengah lokasi premium atau kawasan pelancongan, harganya boleh menjadi lebih tinggi.
Walaupun harga kopi di Istanbul semakin menghampiri bandar-bandar besar dunia, permintaan tetap tinggi. Bagi ramai pengguna muda, membeli kopi bukan lagi sekadar membeli minuman, tetapi membeli pengalaman dan suasana.