
Kalau Taksim mewakili wajah lama Istanbul yang sibuk dan penuh sejarah, Kadıköy pula adalah sisi mudanya. Bising dengan muzik jalanan, bau kopi panggang dari kafe hipster, dan mural warna-warni di dinding bangunan. Di sini, setiap lorong seperti kanvas terbuka, dipenuhi anak muda yang berbual, melukis, dan memakai pakaian yang ranggi dan bergaya.
Saya biasanya ke Kadıköy pada hujung minggu. Dari Eminönü, saya naik feri menyeberangi Bosphorus. Perjalanan pendek tapi menenangkan, lagi-lagi melihat burung camar terbang mengiringi bot. Kadıköy juga boleh dicapai melalui Marmaray Line, cuma bagi saya, feri tetap pilihan terbaik. Ada sesuatu yang istimewa tentang melihat Istanbul dari laut, sambil kita perlahan-lahan menghampiri jeti.
Tidak jauh dari kawasan ini, terletak stadium Fenerbahçe. Saya biasanya elak datang ketika ada perlawanan bola sepak. Waktu itu, jalan sesak dan suasana jadi terlalu riuh dengan penyokong mereka. Kadıköy paling indah bila tenang, bila kita boleh berjalan perlahan dan menikmati setiap sudutnya.
Antara tempat kegemaran saya di sini: Piya Thai yang menyajikan makanan Thai terbaik di Istanbul, dan Sopung Kore, restoran Korea kecil tapi autentik, atau di Salt Fried Chicken Kadıköy untuk burger dan ayam goreng yang rangup. Kalau musim panas pula saya singgah di Meşhur Dondurmacı Ali Usta untuk makan ais krim.
Selepas makan, saya suka berjalan ke Moda Pier. Di situ, orang duduk di tepi laut sambil minum teh, ada yang bersembang, ada yang cuma memandang ombak. Bila matahari terbenam, langit Asia mula menyala warna jingga yang memantul di permukaan laut membuatkan saya selalu terpesona. Istanbul kelihatan seperti lukisan yang hidup.
Selepas menikmati senja di Moda Pier, saya kadang-kadang terus berjalan atau menaiki tram kecil ke Bağdat Caddesi, antara jalan paling bergaya di Istanbul. Deretan butik mewah, kafe moden, dan restoran elegan menjadikan suasananya terasa seperti Eropah kecil di sisi Asia. Pohon-pohon besar menaungi laluan pejalan kaki yang panjang, dan orang ramai berjalan santai sambil menikmati udara malam.
Di sini, saya biasanya singgah makan malam di Midpoint, restoran popular yang terletak di sepanjang jalan utama. Ada juga pilihan lain seperti Cookshop, sesuai untuk menikmati hidangan Turki moden sambil melihat lampu-lampu kota menyala satu demi satu. Tidak hairan ramai yang suka tinggal di sekitar Bağdat Caddesi.
Kadıköy bukan sekadar tempat untuk bersantai, tapi juga ruang untuk mengenal jiwa muda Istanbul, yang bebas, terbuka, dan penuh warna. Ramai penduduk tempatan memilih tinggal di sini berbanding di sebelah Eropah kerana suasananya lebih tenang, jalan-jalannya luas, dan hidupnya terasa kurang tergesa-gesa. Orang di sini nampak lebih santai dan tidak terlalu tertekan dengan kesibukan kota.