+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

Bukan Sekadar Muzik: Impak Ekonomi Konsert Kanye West Di Istanbul

Istanbul sedang melalui antara minggu paling sibuk tahun ini. Bandar metropolitan ini sudah dipenuhi jutaan pelawat sempena Kurban Bayram (Hari Raya Korban), cuti umum yang panjang, dan ketibaan musim panas.

Kawasan membeli-belah, terminal-terminal feri, serta lokasi pelancongan utama sesak sejak awal minggu lagi. Di tengah-tengah pelbagai acara yang berlangsung, konsert Kanye West menjadi tumpuan utama. Kehadiran penyanyi terkenal itu menjadikan Istanbul pusat perhatian dunia hiburan antarabangsa untuk satu malam yang luar biasa.

Konsert tersebut berlangsung di Stadium Olimpik Atatürk, antara stadium terbesar di Türkiye. Terletak di daerah Başakşehir, stadium ini dibina sebagai sebahagian daripada usaha negara ini untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik pada masa hadapan.

Menurut laporan media, kira-kira 118,000 penonton berbayar menghadiri konsert tersebut, menjadikannya antara konsert dalam stadium terbesar yang pernah dianjurkan di Türkiye. Penonton hadir dari pelbagai negara termasuk UK, Jerman, Perancis, Belanda, Itali serta beberapa negara Teluk.

Kanye West dilaporkan meraih sekitar USD30 juta daripada jualan tiket sahaja. Pada masa yang sama, perbelanjaan pelancong asing untuk hotel, pengangkutan, restoran dan membeli-belah turut menyumbang puluhan juta dolar lagi. Secara keseluruhan, acara ini dianggarkan membawa hampir USD100 juta kepada ekonomi Istanbul.

Terdapat beberapa faktor yang menjelaskan sambutan luar biasa ini. Penganjur mempromosikan konsert tersebut secara agresif di media sosial selama berbulan-bulan, dengan pelbagai video berkaitan jualan tiket dan persiapan acara menjadi tular.

Kemudahan pengangkutan percuma juga memudahkan orang ramai hadir ke stadium. Selain itu, imej kontroversi Kanye West sendiri menjadi faktor tarikan. Selepas beberapa konsertnya dibatalkan atau berdepan sekatan di negara lain, ramai peminat melihat Istanbul sebagai peluang terbaik untuk menyaksikannya secara langsung.

Konsert ini turut memperlihatkan satu realiti yang sering dilihat dalam masyarakat Türkiye. Dengan harga tiket bermula sekitar USD140 (~RM500) sedangkan gaji minimum bulanan berada pada paras sekitar USD600 (~RM 2,300), menghadiri acara sebegini memerlukan pengorbanan kewangan yang besar bagi ramai orang.

Namun ramai peminat tempatan berkongsi mentaliti yang biasa didengar di Istanbul:

Para geri kazanılır ama bu anın bir daha tekrarı olmayacak.”

Wang boleh dicari semula, tetapi peluang dan kenangan seperti ini mungkin tidak akan berulang lagi. Ketibaan musim panas sekali lagi membuktikan mengapa Istanbul kekal sebagai antara pusat hiburan utama di rantau ini. Setiap tahun bandar raya ini menerima kehadiran bintang antarabangsa, festival muzik dan pelbagai acara kebudayaan berskala besar.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED