
Troy merupakan sebuah kota purba yang terletak di kawasan Hisarlık, berhampiran kampung Tevfikiye dalam wilayah Çanakkale, barat laut Türkiye. Kedudukannya tidak jauh dari Selat Dardanelles yang memisahkan bahagian Eropah dan Asia di Türkiye.
Bagi pengunjung dari Istanbul, perjalanan ke Troy mengambil masa sekitar lima hingga enam jam dengan kereta, melalui Jambatan Çanakkale 1915 atau laluan feri. Pengunjung juga boleh menaiki bas dari Istanbul ke bandar Çanakkale sebelum meneruskan perjalanan menggunakan teksi atau bas mini ke tapak arkeologi tersebut.
Kedudukan Troy berhampiran Selat Dardanelles menjadikan kawasan ini sebahagian daripada laluan penting yang menghubungkan Laut Aegean dengan Laut Marmara dan seterusnya Laut Hitam. Pada zaman purba, selat ini dikenali sebagai Hellespont dan mempunyai kepentingan strategik kepada kerajaan yang ingin menguasai pergerakan antara Eropah dengan Anatolia.
Lebih seribu tahun selepas zaman kegemilangan Troy pada Zaman Gangsa, Alexander the Great menyeberangi selat ini pada tahun 334 SM bersama tenteranya ketika memulakan kempen ketenteraan menentang Empayar Parsi. Beliau turut mengunjungi kota Ilium, iaitu Troy pada zaman Yunani, untuk memberikan penghormatan kepada para dewa sebelum meneruskan kempen penaklukannya di Asia.
Pada Zaman Gangsa, Troy berkembang dalam lingkungan dunia yang turut menyaksikan kebangkitan beberapa empayar besar di Timur Dekat (Near East), termasuk Hittite dan Assyria. Hubungan Troy dengan Empayar Hittite mempunyai kepentingan khusus kerana terdapat catatan dalam dokumen Hittite mengenai sebuah kerajaan bernama Wilusa yang dipercayai merujuk kepada Troy.
Selepas kemerosotan kerajaan-kerajaan Zaman Gangsa, kawasan barat Anatolia menyaksikan perkembangan penempatan masyarakat berbahasa Yunani, termasuk orang Ionia yang membangunkan pelbagai kota di sepanjang pesisir Laut Aegean. Kota-kota seperti Miletus, Ephesus dan Smyrna berkembang menjadi pusat perdagangan, kebudayaan dan kegiatan intelektual dunia Yunani.
Nama Troy kemudiannya menjadi terkenal melalui karya sastera Homer, khususnya Iliad dan Odyssey. Iliad menceritakan sebahagian daripada Perang Trojan, termasuk pertelingkahan antara Achilles dengan Agamemnon serta pertempuran antara Achilles dan Hector. Sementara itu, Odyssey mengisahkan perjalanan panjang Odysseus untuk kembali ke tanah airnya di Ithaca selepas kejatuhan Troy.
Antara kisah paling terkenal yang dikaitkan dengan kejatuhan Troy ialah penggunaan Kuda Trojan, sebuah patung kuda kayu besar yang dikatakan digunakan oleh tentera Yunani untuk menyusup masuk ke dalam kota tersebut. Menurut legenda, tentera Yunani berpura-pura meninggalkan kawasan Troy dan menghadiahkan kuda kayu itu kepada penduduk kota sebagai tanda kemenangan.
Namun, askar Yunani yang bersembunyi di dalamnya keluar pada waktu malam lalu membuka pintu kota untuk membolehkan tentera mereka menyerang. Kisah ini terus menjadi sebahagian daripada identiti Troy sehingga hari ini, malah pengunjung yang datang ke kawasan arkeologi tersebut boleh melihat replika Kuda Trojan sebagai salah satu tarikan pelancongan yang mengingatkan mereka kepada legenda perang yang terkenal itu.