+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com
Home > Empayar > Assyria

Assyria: Kebangkitan, Kegemilangan dan Kejatuhan

Untuk siri terbaru ini, perjalanan penulisan kita akan membawa kita ke Mesopotamia, sebuah wilayah yang sering dianggap sebagai tempat lahirnya tamadun manusia. Di sinilah muncul sebuah empayar yang pernah menjadi antara kuasa paling digeruni di dunia purba, iaitu Empayar Assyria.

Sebelum ini kita telah mengikuti kisah Kerajaan Urartu, sebuah kuasa yang pernah menguasai kawasan sekitar Tasik Van di timur Anatolia. Selama hampir dua abad, Urartu dan Assyria menjadi seteru utama yang saling berebut pengaruh di rantau tersebut.

Pada kemuncak kegemilangannya, Assyria menguasai sebuah wilayah yang terbentang dari timur laut Afrika dan pesisir Mediterranean Timur hingga ke Barat Iran, serta dari Anatolia di utara hingga ke Teluk Parsi di selatan. Mereka bukan sekadar menakluk kerajaan demi kerajaan, malah turut berjaya menewaskan Mesir Purba.

Empayar ini berkembang melalui beberapa pusat pentadbiran yang silih berganti mengikut zaman, termasuk Ashur, Calah (Nimrud), Arbela dan akhirnya Nineveh. Setiap kota memainkan peranan penting dalam pembinaan sebuah empayar yang terkenal dengan tentera yang berdisiplin, sistem pentadbiran yang tersusun, serta projek pembinaan yang mengagumkan.

Namun seperti banyak empayar besar dalam sejarah, kegemilangan Assyria tidak berkekalan. Selepas berabad-abad menguasai rantau tersebut, empayar ini mengalami kejatuhan yang begitu dramatik apabila gabungan musuh berjaya menawan dan memusnahkan Nineveh pada tahun 612 SM. Kejatuhan kota itu menandakan berakhirnya salah satu empayar paling berpengaruh dalam sejarah dunia purba.

Walaupun Assyria lenyap daripada peta politik, wilayahnya terus menjadi rebutan kuasa-kuasa besar yang muncul selepasnya. Empayar Babylon mengambil alih buat sementara waktu sebelum Empayar Parsi menakluk Mesopotamia pada tahun 539 SM. Dua abad kemudian, Alexander the Great pula menewaskan Parsi dan membawa seluruh wilayah ini ke bawah pemerintahan Yunani.

Dalam siri baharu ini, kita akan menelusuri kisah kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan Empayar Assyria. Kita akan melihat bagaimana sebuah kerajaan kecil di tebing Sungai Tigris berkembang menjadi kuasa yang mengubah landskap politik Timur Tengah, sebelum akhirnya runtuh dalam salah satu pengakhiran paling dramatik dalam sejarah manusia.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED