+60198815190  
 akudianatolia@gmail.com

Petang yang Mendamaikan di Üsküdar

Perjalanan saya ke Üsküdar biasanya bermula di Eminönü. Naik sahaja feri menuju ke Üsküdar, carilah tempat duduk di bahagian luar. Ketika feri mula meninggalkan dermaga, angin Bosphorus mula menerpa lembut ke pipi. Di belakang, kubah dan menara masjid di sebelah Eropah semakin menjauh, sementara di hadapan terbentang bahagian Asia metropolis ini.

Sebaik tiba di Üsküdar, jangan terus mencari bas atau teksi. Berjalanlah dahulu di sepanjang jeti menghala ke Kız Kulesi. Di hadapan mata, Maiden’s Tower berdiri sendirian di tengah-tengah selat, dikelilingi air yang berkilauan dipukul cahaya petang. Sesekali, feri melintas di hadapan mata, membawa penumpang dari satu sisi Istanbul ke sisi yang lain.

Selepas puas menikmati pemandangan, saya akan berjalan ke Gastronomi Sokağı. Di sinilah tempat untuk penggemar kopi dan dessert. Singgahlah di  La Lune Patisserie dan nikmati croissant yang sedap dan rangup, dengan lapisan pastri yang rapuh di luar tetapi lembut di dalam. Kalau masih ada ruang, pilih pula salah satu daripada pelbagai kek dan pencuci mulut yang menggoda di hadapan mata.

Dari sini, saya akan berjalan semula menuju ke kawasan pier. Üsküdar mempunyai banyak masjid yang kita boleh singgah untuk solat. Pilihan saya biasanya ialah Mihrimah Sultan Camii. Selepas selesai solat, luangkan sedikit masa untuk berdiri di luar masjid. Dari sini, Bosphorus terbentang luas di hadapan, sambil itu boleh melihat gelagat penduduk Üsküdar di sekitar kawasan masjid.

Apabila petang semakin beransur pergi, saya akan naik bas nombor 15 menuju ke Kuzguncuk. Di sini, langkah terasa lebih santai, waktu terasa lebih panjang. Rumah-rumah lama yang berwarna-warni menghiasi jalan, bunga-bunga tumbuh di hadapan rumah dan kucing berkeliaran di kaki lima.

Tidak perlu mengejar masa di sini. Duduklah di salah sebuah kafe, pesan secawan kopi atau teh, dan berbual dengan penduduk tempatan. Biarkan petang berlalu perlahan-lahan.

Sebelum kembali ke jeti untuk pulang, sempurnakan petang anda di Üsküdar dengan makan malam di İsmet Baba Fish Restaurant. Duduk di meja menghadap Bosphorus dan Jambatan 15 Temmuz, pesan ikan-ikan yang segar dan makanan laut lain yang baru dimasak, bersama beberapa hidangan meze untuk dikongsi.

Langit semakin gelap, lampu-lampu Istanbul mula berkelip di seberang Bosphorus, dan petang yang panjang akhirnya sampai ke penghujungnya. Tetapi Üsküdar bukanlah tempat yang mudah ditinggalkan begitu sahaja. Ada hembusan angin yang ingin dirasai lagi, ada lorong Kuzguncuk yang ingin disusuri semula, ada kopi yang ingin dinikmati perlahan-lahan. Mungkin suatu hari nanti, kita akan kembali, hanya untuk merasai sekali lagi petang yang sama.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;
Istanbul Memasuki Musim Luruh

Istanbul Memasuki Musim Luruh

Salah satu tanda ketibaan musim luruh yang paling jelas ialah perubahan suhu. Minggu lalu, suhu siang hari masih sekitar 25 hingga 26°C. Hari ini, ia sudah turun kepada sekitar 20…
Read more

Istanbul Memasuki Musim Luruh

Salah satu tanda ketibaan musim luruh yang paling jelas ialah perubahan suhu. Minggu lalu, suhu siang hari masih sekitar 25 hingga 26°C. Hari ini, ia sudah turun kepada sekitar 20…
Read more

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED