
Langit Istanbul hari itu biru terang, seolah musim luruh ingin menunjukkan sisi terbaiknya. Udara terasa sejuk dan jernih, daun-daun kekuningan berterbangan di jalan sempit Edirnekapı.
Dari puncak bukit, saya memandang ke arah Masjid Mihrimah Sultan, salah satu karya terindah peninggalan zaman Uthmaniyyah. Kubahnya yang megah berdiri teguh di atas kota, memantulkan cahaya matahari yang lembut dari arah Laut Marmara di kejauhan.
Di bawahnya, rumah-rumah batu dibina di antara lorong sempit, sementara angin musim bunga membawa aroma roti dan kopi dari kedai berhampiran. Dari tempat ini, Istanbul terasa seperti kota yang bernafas perlahan, seakan ingin menceritakan sesuatu. Kisah tentang cinta, kuasa, dan seorang wanita yang pernah menatap langit yang sama berabad lalu.
Mihrimah Sultan bukan wanita biasa. Dia satu-satunya anak perempuan Sultan Suleiman I dan Hürrem Sultan, pasangan paling berpengaruh dalam sejarah Empayar Uthmaniyyah. Namanya, Mihrimah bermaksud ‘matahari dan bulan’ dalam bahasa Parsi.
Mihrimah Sultan dilahirkan di Istana Topkapi pada tahun 1522, ketika empayar sedang berada di kemuncak kegemilangannya. Namun, kehadirannya disambut dengan sedikit kekecewaan di kalangan istana. Mereka mengharapkan seorang putera, bukan seorang puteri. Dalam dunia yang dikuasai lelaki, seorang anak perempuan dilihat tidak mampu mewarisi takhta atau mengubah sejarah.
Tapi masa membuktikan sebaliknya. Mihrimah tumbuh menjadi wanita yang luar biasa. Berilmu, fasih berbahasa asing, dan cukup berani untuk berdiri di sisi ayahandanya dalam urusan politik serta kebajikan rakyat. Di sebalik kelembutannya, dia mewarisi ketegasan dan kecerdikan ibunya, Hürrem Sultan.
Ketika remaja, dia dikahwinkan dengan Rüstem Pasha, seorang wazir agung yang kuat dan dihormati. Namun, ramai percaya bahawa di sebalik senyumnya yang tenang, Mihrimah menyimpan sesuatu. Mungkin kerinduan, mungkin jiwa yang tak sepenuhnya bebas dari bayang istana.
Di sinilah kisah Mimar Sinan muncul.
Sinan, arkitek agung yang membina ratusan masjid di seluruh empayar, kononnya jatuh cinta pandang pertama pada Mihrimah. Tapi cinta itu mustahil, antara seorang arkitek dan puteri diraja terbentang jurang pangkat dan adat. Maka Sinan memilih untuk tidak mengucapkannya dengan kata, tetapi dengan batu, cahaya, dan ruang.
Dia membina dua masjid untuk Mihrimah. Satu di Üsküdar (1547-1548), di tepi laut, menggambarkan kelembutan dan ketenangan; satu lagi di Edirnekapı (1562 – 1565), di puncak bukit, melambangkan kekuatan dan kemegahan.
Dan setiap 21 Mac, hari lahir Mihrimah, saat matahari terbenam di belakang masjid Edirnekapı, bulan mula terbit di atas masjid Üsküdar. Langit Istanbul menyaksikan dua cahayanya bertemu. Matahari dan bulan, Sinan dan Mihrimah, cinta yang tidak pernah bersatu tapi kekal abadi dalam keindahan.
Kini, berabad kemudian, saya berdiri dan solat di bawah kubah yang sama. Batu-batunya mungkin telah pudar, tetapi bayang cintanya masih terasa. Saya terfikir tentang Mimar Sinan, lelaki yang memilih untuk tidak melawan takdir, tetapi mengekalkan cintanya dalam bentuk yang paling abadi, melalui seni. Mungkin setiap lelaki pernah merasai hal yang sama; mencintai seseorang dalam diam, tanpa nama, tanpa balasan.