
Bagi sesetengah pelancong, pengalaman menginap di Istanbul bukan sekadar mencari hotel yang selesa dan berada dekat dengan tempat-tempat bersejarah. Ada yang mahukan pengalaman lebih istimewa, seperti membuka langsir pada waktu pagi lalu melihat kapal-kapal melintasi Bosphorus, menikmati sarapan di tepi air atau berehat di dalam bilik sambil menyaksikan langit Istanbul berubah warna ketika matahari terbenam.
Istanbul mempunyai beberapa hotel mewah yang menawarkan pengalaman seperti ini. Kebanyakannya terletak di sepanjang pesisir Eropah, khususnya di kawasan Beşiktaş, Ortaköy dan Kuruçeşme. Ada yang merupakan bekas istana Uthmaniyyah, manakala yang lain menawarkan kemewahan moden dengan tingkap besar menghadap selat.
Jika anda merancang percutian ke Istanbul dengan bajet yang lebih besar, berikut ialah lima hotel mewah yang boleh dipertimbangkan untuk menikmati pemandangan Bosphorus.
Nota: Harga yang dinyatakan adalah anggaran julat harga semalam, daripada kategori bilik yang paling asas sehingga suite paling eksklusif. Harga sebenar boleh berubah mengikut tarikh perjalanan, musim, promosi, kadar pertukaran mata wang dan ketersediaan bilik.
1. Çırağan Palace Kempinski
Anggaran harga: RM3,200 hingga RM140,000+ semalam
Jika bercakap tentang hotel mewah di tepi Bosphorus, sukar untuk mengetepikan Çırağan Palace Kempinski.
Hotel ini mempunyai sesuatu yang tidak dapat ditawarkan oleh kebanyakan hotel lain di Istanbul, iaitu pengalaman menginap di dalam bekas istana Uthmaniyyah. Bangunan istana ini pernah menjadi sebahagian daripada kompleks diraja Uthmaniyyah sebelum diubah menjadi hotel mewah.
Lokasinya di antara Beşiktaş dan Ortaköy memberikan pemandangan terus ke Bosphorus. Hotel ini berdiri di tepi air dengan kawasan taman yang luas, manakala kolam renangnya menghadap terus ke selat.
2. Four Seasons Hotel Istanbul At The Bosphorus
Anggaran harga: RM2,600 hingga RM50,000+ semalam
Tidak jauh dari Çırağan Palace terletaknya satu lagi hotel yang menawarkan pengalaman menginap di bangunan bersejarah.
Four Seasons Hotel Istanbul At The Bosphorus merupakan sebuah istana Uthmaniyyah abad ke-19 yang telah dipulihkan dan diubah menjadi hotel mewah. Bangunannya menghadap terus ke Bosphorus, dengan taman yang terbentang sehingga ke tepi air.
Pada waktu pagi, anda boleh menikmati sarapan sambil melihat kapal bergerak di hadapan hotel. Pada sebelah petang pula, kawasan tepi air menjadi tempat yang sesuai untuk berehat selepas seharian berjalan mengelilingi Istanbul.
Hotel ini turut mempunyai kolam renang dan kemudahan spa, menjadikannya pilihan menarik untuk pelancong yang mahu menggabungkan lawatan ke Istanbul dengan pengalaman santai.
3. Mandarin Oriental Bosphorus, Istanbul
Anggaran harga: RM6,900 hingga RM110,000+ semalam
Jika keutamaan anda ialah pemandangan Bosphorus dan pengalaman hotel moden bertaraf ultra-luxury, Mandarin Oriental Bosphorus merupakan antara pilihan yang paling menarik.
Terletak di Kuruçeşme, hotel ini berada betul-betul di tepi Bosphorus, di antara Ortaköy dan Bebek. Kedudukannya memberikan suasana yang lebih tenang berbanding kawasan pusat bandar, tetapi masih mudah untuk mengakses kawasan-kawasan penting Istanbul.
Hotel ini berbeza daripada dua hotel sebelumnya kerana ia bukan bekas istana. Sebaliknya, ia direka sebagai sebuah hotel mewah moden yang menggabungkan reka bentuk kontemporari dengan suasana rumah-rumah agam tradisional di sepanjang Bosphorus.
4. The Peninsula Istanbul
Anggaran harga: RM2,300 hingga RM28,000+ semalam
The Peninsula Istanbul menawarkan pengalaman yang sedikit berbeza daripada hotel-hotel di Beşiktaş dan Kuruçeşme.
Hotel ini terletak di Karaköy, di kawasan Galataport, berhampiran pintu masuk ke Bosphorus. Lokasi tersebut menjadikannya pilihan menarik untuk pelancong yang mahu menikmati pemandangan air tetapi pada masa yang sama tidak mahu terlalu jauh daripada kawasan bersejarah Istanbul.
Jadi, jika anda mahu menikmati hotel mewah dengan pemandangan air tetapi masih mahu keluar berjalan kaki untuk meneroka Istanbul, hotel ini merupakan pilihan yang sangat menarik.
5. Shangri-La Bosphorus, Istanbul
Anggaran harga: RM2,000 hingga RM15,000+ semalam
Satu lagi nama yang patut dipertimbangkan ialah Shangri-La Bosphorus.
Hotel ini terletak di Beşiktaş, di dalam sebuah bangunan bersejarah dari tahun 1930-an. Berbeza dengan Çırağan Palace dan Four Seasons Bosphorus yang lebih menyerupai kompleks istana, Shangri-La memberikan pengalaman hotel mewah yang lebih moden dengan sentuhan seni bina Uthmaniyyah.
Kedudukannya berhampiran Bosphorus menjadikan bilik-bilik yang menghadap air sangat menarik. Dari tingkat yang lebih tinggi, pemandangan selat dapat dinikmati bersama panorama kawasan Beşiktaş dan pesisir Istanbul.
Kelebihan lain ialah lokasinya. Beşiktaş merupakan salah satu kawasan paling aktif di bahagian Eropah Istanbul, dengan restoran, kafe, pasar dan terminal feri yang mudah dicapai.
Kelima-lima hotel ini menawarkan pengalaman yang berbeza walaupun semuanya berkongsi satu perkara yang sama, iaitu pemandangan Bosphorus.
Satu perkara yang perlu diingat ialah tidak semua bilik di hotel-hotel ini mempunyai pemandangan Bosphorus. Jika pemandangan selat merupakan sebab utama anda memilih hotel tersebut, pastikan anda menempah kategori bilik yang dinyatakan sebagai Bosphorus View, Bosphorus-facing atau istilah yang sama.