
Bagi mereka yang ingin menikmati suasana pantai tanpa bercampur dengan pengunjung lelaki, Elmasburnu Kadınlar Plajı mungkin antara lokasi yang paling unik di Istanbul.
Pantai ini terletak di kawasan Riva, daerah Beykoz di pesisir Laut Hitam, kira kira 45 hingga 60 minit pemanduan dari Taksim atau Sultanahmet, bergantung kepada keadaan trafik. Lokasinya berada di dalam Elmasburnu Tabiat Parkı yang terkenal dengan kehijauan hutan dan pantainya yang bersih, menjadikannya destinasi hujung minggu yang popular bagi penduduk tempatan.
Ramai pelancong tidak menyangka sebuah bandar metropolitan seperti Istanbul turut mempunyai pantai khas untuk wanita. Kemudahan ini diwujudkan bagi memberi ruang kepada wanita yang lebih selesa menikmati aktiviti pantai dalam suasana yang lebih privasi.
Ia bukan sahaja menjadi pilihan wanita berhijab, malah turut dikunjungi wanita daripada pelbagai latar belakang yang sekadar ingin berehat, berjemur atau berenang tanpa gangguan. Konsep sebegini sudah lama wujud di beberapa kawasan di Türkiye dan masih mendapat sambutan sehingga hari ini.
Cara operasinya juga cukup mudah. Pada hari khas wanita,iaitu Selasa hingga Jumaat, hanya pengunjung wanita dibenarkan memasuki kawasan pantai. Kebanyakan pengunjung memandu sendiri ke Riva, manakala ada juga yang dihantar oleh suami atau ahli keluarga sebelum dijemput semula pada waktu petang.
Kanak-kanak lelaki yang masih kecil turut dibenarkan menemani ibu mereka. Had umur yang ditetapkan ialah di bawah 7 tahun, manakala kanak-kanak lelaki yang lebih besar tidak dibenarkan memasuki kawasan pantai pada hari wanita.
Di kawasan taman rekreasi berhampiran pula terdapat banyak meja berkelah yang sering digunakan oleh keluarga untuk menikmati barbeku atau berkelah selepas mandi laut. Namun makanan dan kelengkapan berkelah tidak dibenarkan dibawa masuk ke kawasan pantai, sebaliknya perlu dinikmati di kawasan taman yang telah disediakan.
Pantai ini biasanya beroperasi dari pukul 7.00 pagi hingga 9.00 malam sepanjang musim panas. Oleh kerana tempat letak kereta terletak agak jauh dari kawasan pantai, pihak pengurusan menyediakan perkhidmatan shuttle yang membawa pengunjung dari pintu masuk ke kawasan pantai.
Kemudahan ini sangat membantu terutama bagi keluarga yang membawa barangan berkelah atau pengunjung yang datang bersama anak kecil. Gabungan suasana alam semula jadi, kemudahan yang lengkap dan privasi menjadikan Elmasburnu Kadınlar Plajı antara destinasi musim panas yang cukup menarik untuk diterokai di Istanbul.