
Jika anda mencari restoran rooftop di Istanbul, anda pasti akan menemui berpuluh-puluh tempat di dalam Google Map. Hakikatnya, hampir setiap hotel di kawasan pelancongan mempunyai restoran di tingkat paling atas dengan pemandangan yang menarik.
Jadi artikel ini bukan ranking restoran rooftop terbaik di Istanbul. Sebaliknya, saya hanya ingin berkongsi lima restoran rooftop yang saya sendiri pernah kunjungi sepanjang tinggal di Istanbul.
Kesemuanya memberikan pengalaman yang sangat memuaskan, sama ada dari segi makanan, layanan mahupun pemandangan langit Istanbul yang sukar dilupakan. Tambahan lagi semua restoran dalam senarai ini boleh diakses dengan mudah menggunakan tram atau metro sahaja.
Seven Hills Restaurant (Sultanahmet)
Bagi saya, inilah antara restoran rooftop paling ikonik di Istanbul. Dari sini anda boleh melihat Hagia Sophia di satu sudut, sementara Masjid Biru di satu sudut yang lain. Juga pemandangan Laut Marmara yang terbentang luas di bahagian belakang dan burung-burung camar yang sentiasa berlegar di bahagian atas restoran.
Tidak hairanlah ramai pengujung datang ke sini terutama ketika matahari terbit dan matahari terbenam. Anda wajib datang untuk bergambar sambil memberi makanan kepada burung-burung camar tersebut.
Restoran ini terkenal dengan hidangan makanan laut, namun turut menyediakan pelbagai pilihan masakan Turki. Walaupun harganya lebih tinggi berbanding restoran biasa, anda sebenarnya membayar untuk pengalaman dan pemandangan yang sukar ditandingi.
Roof Mezze 360 Restaurant (Sirkeci)
Jika anda menginap di sekitar Sirkeci, restoran ini sangat mudah dikunjungi. Ia terletak di bahagian atas Seres Hotel Old City. Saya sangat menyukai pemandangan 360 darjah yang membolehkan anda melihat pemandangan Selat Bosphorus pada waktu malam.
Pilihan menu di sini lebih kepada gabungan masakan Turki moden dan pelbagai hidangan pembuka selera tradisional (mezze). Mereka juga menghiburkan pelanggan dengan muzik ‘live’ dan DJ.
N’EVET İstanbul Rooftop Restaurant (Taksim)
Restoran ini merupakan pilihan saya jika berada di Istiklal Street. Pemandangannya menghadap Bosphorus, Galata Tower dan seluruh Semenanjung Bersejarah (Historic Peninsula). Jika anda datang ketika matahari mula terbenam, suasananya memang sangat cantik. Restoran ini juga sering mengadakan persembahan muzik ‘live’ pada waktu malam.
Saya mengesyorkan restoran ini untuk mereka yang berniat untuk membuat sambutan hari lahir (birthday) kepada yang tersayang. Staf di sini sentiasa bersedia memberikan servis yang terbaik.
BESO Rooftop Restaurant (Laleli)
Ramai pelancong Malaysia menginap di sekitar Laleli kerana berhampiran laluan Tram T1. Jika anda juga menginap di kawasan ini, BESO merupakan pilihan yang sangat praktikal kerana tidak perlu pergi jauh untuk menikmati restoran rooftop.
Pemandangan bandar dari sini memang menarik, terutama pada waktu malam apabila lampu lampu sekitar Fatih mula menyala. Restoran ini menawarkan gabungan hidangan Turki dan antarabangsa, sesuai jika anda datang bersama keluarga atau rakan.
Galata Rooftop Ocakbaşı Restaurant (Karaköy)
Jika saya ingin menikmati makan malam selepas berjalan di Karaköy atau Galataport, inilah antara pilihan kegemaran saya. Dari rooftop ini anda boleh melihat Selat Bosphorus, kapal yang keluar masuk pelabuhan serta bangunan-bangunan bersejarah di sekitar Karaköy.
Restoran ini terkenal dengan pelbagai jenis kebap, kambing dan mezze tradisional. Jika anda sukakan makanan Turki yang dipanggang, saya rasa anda akan menyukai tempat ini.
Satu perkara yang sering ditanya oleh pelancong Malaysia ialah sama ada restoran rooftop di Istanbul halal atau tidak.
Berdasarkan pengalaman saya, hampir semua restoran rooftop yang menyasarkan pelancong antarabangsa turut menjual minuman beralkohol. Ini perkara biasa kerana mereka menerima ramai pelanggan dari Eropah dan Amerika.
Namun begitu, makanan yang dihidangkan adalah halal kerana menggunakan bahan mentah yang dibekalkan mengikut standard restoran di Türkiye. Jika anda tidak mengambil alkohol, anda hanya perlu memesan minuman lain seperti jus buah-buahan, ayran, çay, atau kopi Turki.
Kesemua restoran yang saya senaraikan mempunyai akses lif, menjadikannya lebih mesra untuk warga emas atau keluarga yang membawa kereta sorong bayi. Walau bagaimanapun, pengurusan bangunan boleh berubah dari semasa ke semasa, jadi saya tetap mengesyorkan anda menyemak terlebih dahulu ketika membuat tempahan, terutamanya jika ada keperluan akses khas.
Saya juga sangat mengesyorkan supaya anda menghubungi restoran dan membuat tempahan terlebih dahulu, terutamanya jika ingin datang pada waktu matahari terbenam atau makan malam. Waktu tersebut merupakan waktu paling sibuk dan meja di bahagian tepi yang mempunyai pemandangan terbaik selalunya cepat penuh.