+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

Cappadocia: Menyelami Landskap dan Sejarahnya

Pengalaman pertama kali saya menjejakkan kaki ke Cappadocia, terasa seolah-olah melangkah masuk ke dalam lapisan masa yang panjang. Tempat ini bukan sekadar cantik dan unik. Setiap lekuk batu, setiap ‘tiang batu’ yang menjulang tinggi, membuatkan kita terasa begitu kecil di hadapan keagungan alam yang luar biasa ini. Keindahannya sudah wujud jauh sebelum manusia menjejakkan kaki di sini.

Rantau ini terbentuk daripada letusan gunung berapi, termasuk dari Gunung Erciyes dan Gunung Hasan yang masih wujud. Letusan tersebut menyebarkan abu tebal ke seluruh kawasan. Abu itu mengeras menjadi batu lembut yang dikenali sebagai ‘tuff’, setebal berpuluh meter. 

Sejak berjuta-juta tahun, hakisan dari angin dan hujan mengukir batu ini menjadi landskap unik yang seolah-olah bukan dari dunia kita, dengan lembah, puncak, dan cerobong batu yang dikenali sebagai ‘fairy chimneys’ yang menjulang setinggi 40 meter ke langit. Setiap lekuk, setiap bayang batu yang kita lihat di hadapan mata hari ini adalah hasil daripada proses geologi yang panjang, sebelum sejarah manusia bermula di atasnya.

Sebelum sektor pelancongan berkembang, Cappadocia hanyalah tempat orang biasa menjalani kehidupan sehari-hari. Penduduk kampung di Göreme, Uçhisar, Avanos, Ürgüp, dan Mustafapaşa sibuk dengan aktiviti pertanian, menjaga haiwan ternakan, dan menghasilkan termbikar.

Gereja batu dan ‘fairy chimneys’ yang tinggi kadang-kadang digunakan untuk ibadah, tetapi sering juga dijadikan tempat menyimpan hasil tanaman dan barang keperluan untuk musim sejuk, manakala bandar bawah tanah seperti Derinkuyu dan Kaymaklı hanya diketahui dan digunakan oleh penduduk tempatan untuk perlindungan.

Segalanya mula berubah pada tahun 1985 apabila UNESCO memasukkan Göreme National Park dan Rock Sites of Cappadocia ke dalam Senarai Warisan Dunia. Dengan satu pengiktirafan, landskap ini menjadi khazanah dunia, menarik perhatian global sambil mula dibentuk oleh industri pelancongan.

Menjelang tahun 1990-an, pelancongan menjadi nadi utama Cappadocia. Rumah gua diubah menjadi hotel, ada yang dipulihara dengan berhati-hati, ada pula yang diubah suai sehingga hampir hilang bentuk asalnya.

Pertanian semakin berkurang apabila keluarga beralih kepada sumber pendapatan yang lebih stabil melalui perkhidmatan hospitaliti, pengangkutan, dan pemandu pelancong. Lembah-lembah yang dahulu digunakan untuk ternakan kini dipenuhi laluan ATV dan ‘Jeep Safari’, manakala gereja batu yang sunyi kini menjadi muzium terbuka bagi pelawat yang datang dari seluruh dunia.

Kemudian muncul pula aktiviti belon udara panas. Pada awalnya ia sekadar tarikan baharu. Lama-kelamaan, ia menjadi simbol Cappadocia itu sendiri. Subuh di sana berubah menjadi pemandangan yang menakjubkan.

Dari atas belon udara panas, lembah-lembah dan ‘fairy chimneys’ disinari cahaya keemasan matahari terbit, mencipta warna yang seolah-olah diambil dari lukisan. Apabila kita berdiri di atas tanah dan mendongak ke atas, melihat belon-belon terapung perlahan-lahan di langit, rasa kagum dan kecil di hadapan keindahan ini sukar digambarkan.

Cappadocia selepas 1985 berubah wajah dengan kehadiran pelancong dan kemudahan moden, tetapi rahsia lamanya masih menunggu untuk ditemui. Di Avanos, tanah liat masih berputar di atas roda tukang pembuat tembikar, dan rumah batu lama di Mustafapaşa menunggu untuk mendedahkan kisah hidup terdahulu.

Bandar bawah tanah pula menyimpan cerita keberanian, keimanan, dan ketahanan – kisah yang akan kita ungkap satu persatu dalam penulisan saya yang akan datang.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED