+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com
Home > Turkiye Moden > Seni & Budaya

Güllaç: Pencuci Mulut Ramadan Warisan Uthmaniyyah

Apabila Ramadan tiba, suasana di kedai kek di Türkiye mula berubah. Di antara pelbagai manisan berwarna-warni yang dijual, satu hidangan menjadi tumpuan di meja iftar iaitu güllaç.  Bagi kebanyakan keluarga, berbuka terasa kurang lengkap tanpa pencuci mulut yang lembut ini. 

Güllaç dibuat menggunakan lapisan tepung jagung yang dilembutkan dengan susu manis, dan diserikan dengan air bunga mawar, lalu disusun menjadi hidangan yang terasa ringan selepas seharian berpuasa. Sejuk, harum, dan mudah diterima perut, güllaç hampir sinonim dengan malam Ramadan.

Kisah güllaç bermula di zaman Uthmaniyah lagi. Sekitar awal abad ke-13, ketika masyarakat pada masa itu mencari cara untuk memelihara tepung jagung supaya tahan lebih lama. Pelbagai kaedah dicuba, namun cara paling berkesan ialah menggulung tepung menjadi kepingan yang sangat nipis lalu dikeringkan. 

Kepingan ini kemudian dilembapkan dengan susu dan gula sebelum dihidangkan. Apabila air mawar ditambah, pencuci mulut ini mendapat aroma bunga yang lembut serta nama güllü aş. Lama-kelamaan, nama itu berubah menjadi güllaç seperti yang dikenali hari ini.

Menjelang abad ke-15, güllaç sudah kekal sebagai hidangan istimewa Ramadan. Ia digemari bukan sahaja oleh orang ramai, malah turut mendapat tempat di dapur istana Uthmaniyah. Rekod istana dari zaman Sultan Suleiman I kerap menyebut güllaç sebagai antara pencuci mulut yang disediakan untuk jamuan Ramadan.

Apa yang menjadikan güllaç terus relevan ialah sifatnya yang ringan. Berbanding pencuci mulut lain yang berat, güllaç terasa ringan dan menyegarkan. Di sesetengah kawasan, hiasan tambahan mencerminkan identiti tempatan. Di tempat seperti Bilecik yang terkenal dengan buah delima, biji delima merah ditabur di atasnya.

Berabad-abad telah berlalu, namun güllaç masih menghiasi meja Ramadan di seluruh Türkiye. Lebih daripada sekadar pencuci mulut, ia melambangkan kesinambungan. Setiap suapan menghubungkan detik iftar masa kini dengan generasi terdahulu.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED