Bagi ramai pelancong Malaysia yang melawat Turkiye, minat itu sering bermula di ruang tamu rumah mereka sendiri, terutamanya siri TV Diriliş: Ertuğrul. Jalan ceritanya yang sarat dengan nilai keberanian, keadilan, keimanan dan perjuangan keluarga sangat dekat dengan jiwa penonton Malaysia.
Watak Ertuğrul digambarkan bukan sekadar pahlawan, tetapi seorang pemimpin yang berpegang pada prinsip. Tanpa disedari, ramai penonton mula ingin melihat sendiri tanah yang melahirkan kisah ini. Dari Söğüt hingga ke Istanbul, realiti dunia pelancongan dan fantasi drama televisyen mula saling bekait.
Kejayaan Ertugrul hanyalah satu contoh kecil daripada fenomena lebih besar. Hari ini, siri TV Turkiye ditonton oleh hampir satu bilion penonton di seluruh dunia merangkumi lebih 170 negara.
Industri ini berkembang daripada hiburan tempatan kepada ‘soft power’ atau kuasa budaya global. Turkiye kini berada dalam kelompok pengeluar dan pengeksport siri televisyen terbesar dunia, setanding dengan Amerika Syarikat dan United Kingdom.
Apa yang membuatkan siri Turkiye mudah diterima oleh penonton antarabangsa ialah gaya penceritaannya. Jalan cerita biasanya bergerak perlahan tetapi sarat dengan mesej. Hubungan keluarga, konflik emosi, pengorbanan dan dilema moral diberi ruang yang cukup. Bagi penonton Malaysia, unsur ini terasa dekat dengan budaya sendiri.
Industri ini juga memberi sumbangan ekonomi yang besar. Hasil eksport siri TV Turkiye kini melebihi USD 1 billion. Namun, kesannya tidak terhenti di situ. Menurut pihak berkuasa pelancongan Turkiye, siri TV ini berfungsi seperti kelas bahasa Turki terbesar di dunia. Ramai penonton mula mengenali perkataan asas, loghat, malah ungkapan budaya hanya melalui tontonan harian mereka.
Media sosial turut memainkan peranan besar. Akaun rasmi promosi pelancongan Turkiye kini diikuti puluhan juta orang dari pelbagai negara. Kandungan yang dikongsi sering berkait rapat dengan lokasi penggambaran drama terkenal. Tidak hairanlah ramai pelancong Malaysia datang dengan senarai tempat yang pernah mereka lihat di skrin televisyen.
Melihat kejayaan Turkiye ini, Malaysia sebenarnya mempunyai potensi yang sama. Sejarah Kesultanan Melayu, kisah perjuangan, adat istiadat, serta keindahan alam semula jadi boleh diangkat melalui penceritaan yang bermutu dan konsisten.
Jika drama dan siri tempatan bukan sahaja mampu menghiburkan penonton tetapi juga menampilkan lokasi sebenar yang menarik, budaya harian dan nilai masyarakat, ia mampu membina hubungan emosi dengan penonton antarabangsa.