+60198815190  
 akudianatolia@gmail.com

Uludağ: Gunung Suci Para Rahib Byzantine

Bagi kebanyakan pelancong, Uludağ dikenali sebagai destinasi ski paling terkenal di Türkiye. Pada musim sejuk, lereng gunung ini dipenuhi salji, manakala pada musim panas pula ia menjadi lokasi perkhemahan dan aktiviti mendaki atau hiking.

Namun, lama sebelum hotel-hotel, kereta kabel dan pusat peranginan dibina, Uludağ pernah menjadi antara kawasan keagamaan paling penting dalam Empayar Byzantine.

Tidak ramai yang mengetahui bahawa gunung tertinggi di kawasan Marmara ini pernah digelar Gunung Olympus Mysius. Nama ‘Olympus’ bukan sahaja dikaitkan dengan mitologi Yunani, malah digunakan oleh masyarakat zaman Rom untuk merujuk kepada gunung yang tinggi dan dianggap suci.

Apabila agama Kristian mula berkembang di rantau ini, gunung tersebut memperoleh identiti baharu sebagai tempat para rahib (monk) mencari ketenangan dan mendekatkan diri kepada Tuhan.

Pada tahun 313 Masihi, Maharaja Constantine mengisytiharkan Edict of Milan yang membenarkan penganut Kristian mengamalkan agama mereka secara terbuka. Selepas berakhirnya zaman penganiayaan oleh Rom, lahirlah gerakan monastik (monasticism), iaitu kehidupan yang mengasingkan diri daripada dunia untuk mendekatkan diri kepada Tuhan melalui doa, puasa dan kesederhanaan.

Tidak lama kemudian, semakin ramai rahib berhijrah. Mereka membina pondok kecil, gua pertapaan dan biara (monastery) yang tersebar di pelbagai bahagian gunung. Ada yang hidup bersendirian sebagai pertapa, manakala ada juga yang membentuk komuniti kecil di bawah pimpinan seorang ketua biara (abbot).

Pada zaman kegemilangannya, dipercayai terdapat puluhan biara di sekitar gunung ini. Sebahagian daripadanya menjadi pusat pembelajaran agama, tempat melahirkan tokoh teologi serta penulis manuskrip Kristian (scribe).

Para rahib dari seluruh Empayar Byzantine datang ke sini untuk menuntut ilmu, menjalani latihan kerohanian dan mengasingkan diri daripada pergolakan politik yang sering melanda Constantinople.

Namun, kehidupan para rahib tidak sentiasa tenang. Empayar Byzantine beberapa kali berdepan peperangan, serangan musuh asing dan krisis dalaman. Pada abad ke-8 dan ke-9, kontroversi mengenai penggunaan ikon agama atau Iconoclasm turut memberi kesan kepada banyak biara. Ada yang ditutup, manakala sebahagian rahib dipaksa meninggalkan tempat tinggal mereka kerana mempertahankan penggunaan ikon dalam ibadah.

Selepas kemunculan Empayar Uthmaniyyah di Bursa pada abad ke-14, kebanyakan biara di Uludağ mula ditinggalkan sedikit demi sedikit. Ada yang musnah akibat peperangan, manakala sebahagian lagi lenyap ditelan masa. Hari ini, hanya tinggal beberapa runtuhan dan tinggalan arkeologi yang menjadi saksi kepada kehidupan para rahib yang pernah menjadikan gunung ini sebagai rumah mereka.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED