+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

Lycian Way: Jalan Kuno yang Menjadi Laluan Hiking Terkenal Dunia

Dalam artikel sebelum ini, kita telah mengenali tamadun Lycia yang pernah berkembang di pesisir Mediterranean Türkiye. Tamadun ini terkenal dengan makam-makam batu yang diukir terus pada tebing gunung.

Lycian Way pula lahir daripada usaha menghidupkan semula laluan-laluan purba yang pernah menghubungkan bandar, pelabuhan dan perkampungan Lycia.

Pada penghujung abad ke-20, seorang penulis dan pengkaji sejarah bernama Kate Clow mula menjejaki jalan-jalan lama ini dan meninggalkan tanda-tanda sepanjang laluan untuk kegunaan pendaki moden.

Hasil usahanya membawa kepada pembukaan rasmi Lycian Way pada tahun 1999. Ia kemudian menjadi laluan ‘trekking’ jarak jauh pertama yang diiktiraf di Türkiye.

Pada peringkat awal, hanya segelintir peminat sejarah dan pengembara yang mengetahui kewujudan laluan ini. Mereka tertarik dengan peluang untuk berjalan di atas laluan yang pernah digunakan oleh pedagang, pengembara dan penduduk tempatan sejak zaman purba.

Gambar-gambar pemandangan laut biru, perkampungan tradisional dan runtuhan kota kuno mula tersebar dalam kalangan komuniti pendaki antarabangsa. Dari situ, nama Lycian Way semakin mendapat perhatian.

Popularitinya meningkat dengan pesat apabila majalah pelancongan dan penerbit antarabangsa mula menyenaraikannya sebagai antara laluan hiking paling indah di dunia. Gabungan sejarah, alam semula jadi dan budaya tempatan menjadikannya berbeza daripada kebanyakan laluan trekking lain.

Laluan ini merentasi jarak lebih 500 km dari Fethiye hingga ke Antalya di pesisir Mediterranean. Kebanyakan pendaki tidak menamatkan keseluruhan laluan dalam satu perjalanan, sebaliknya memilih beberapa segmen yang terkenal.

Walaupun tidak memerlukan kemahiran mendaki gunung yang ekstrem, terdapat bahagian yang curam, berbatu dan terdedah kepada panas terik. Pendaki juga perlu bersedia menghadapi perjalanan panjang antara beberapa perkampungan yang mempunyai kemudahan terhad.

Musim bunga antara April-Mei dan musim luruh antara September-November biasanya dianggap masa terbaik untuk mendaki Lycian Way. Cuaca pada ketika ini lebih nyaman dan sesuai untuk perjalanan jarak jauh.

Sebaliknya, musim panas boleh menjadi sangat mencabar dengan suhu yang melebihi 35 darjah Celsius di sesetengah kawasan. Musim sejuk pula membawa hujan lebat dan laluan yang licin, terutama di kawasan berbukit dan berhampiran tebing pantai.

Hari ini, Lycian Way bukan sekadar laluan trekking, tetapi juga satu perjalanan merentasi lapisan sejarah Anatolia. Setiap langkah membawa pendaki melalui kota purba, pemandangan Mediterranean yang menakjubkan dan kisah tamadun yang pernah menguasai rantau ini.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED