+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

Myra dan Tamadun Lycia: Kisah Lama di Selatan Anatolia

Perjalanan ke Demre bukan sekadar menuju sebuah bandar kecil di pesisir selatan Türkiye. Ia adalah langkah masuk ke sebuah sejarah yang jauh lebih tua, sebelum gereja Kristian dan sebelum kisah-kisah yang kita kenal hari ini.

Di sinilah terletaknya Myra, sebuah bandar purba yang pernah menjadi sebahagian daripada Lycia, tamadun yang meninggalkan jejaknya terus di tebing batu dan landskap sekelilingnya.

Myra sudah wujud sekurang kurangnya sejak abad ke-5 sebelum Masihi (SM). Ia bukan bandar kecil terpencil, tetapi sebuah bandar pelabuhan yang aktif, terlibat dalam perdagangan Mediterranean dan berhubung rapat dengan dunia Anatolia, Yunani, dan kemudian Rom.

Lycia bukan tamadun Yunani, dan juga bukan Parsi, walaupun kedua-duanya pernah berkuasa di rantau ini. Orang Lycian mempunyai bahasa sendiri, sistem politik sendiri, dan cara hidup yang berbeza.

Pada abad ke-6 SM, Lycia berada di bawah Empayar Parsi. Namun, mereka masih mengekalkan pemerintah tempatan dan adat mereka. Selepas penaklukan Alexander the Great sekitar 334 SM, pengaruh Yunani semakin kuat. Namun identiti Lycian tidak hilang serta merta.

Salah satu warisan Lycian yang paling mudah dikenali ialah makam batu yang dipahat tinggi di tebing-tebing curam, terutamanya di Myra.

Makam ini bukan sekadar lubang kubur. Ia direka menyerupai rumah kayu Lycian, lengkap dengan pintu, alang kayu, dan bumbung. Orang Lycian percaya kehidupan selepas mati adalah kesinambungan kehidupan di dunia. Maka, si mati perlu “rumah” yang serupa, tetapi kekal selama-lamanya.

Terdapat kepercayaan bahawa roh akan dibawa ke alam lain oleh makhluk bersayap. Semakin tinggi makam, semakin dekat perjalanan roh itu ke alam seterusnya.

Sebab itu makam-makam ini dipahat jauh di atas tanah, menghadap bandar, lembah, dan laut. Ia tidak disembunyi, tetapi dipamerkan. Kematian bagi orang Lycian bukan sesuatu yang disorokkan, tetapi sebahagian daripada kehidupan harian.

Makam yang paling besar dan rumit biasanya milik golongan elit. Pemerintah, bangsawan, dan keluarga berpengaruh. Kedudukan makam di tebing juga mencerminkan status sosial. Semakin tinggi dan indah, semakin besar kedudukan mereka semasa hidup.

Memahami Tamadun Lycia mengubah cara kita melihat Myra. Ia bukan sekadar satu bandar dari satu zaman, tetapi sebuah tempat di mana lapisan sejarah hidup bersama. Makam-makam batu yang masih menghadap lembah hari ini menjadi titik permulaan untuk memahami bagaimana Anatolia dibentuk oleh pertemuan tamadun, kepercayaan, dan kuasa.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED