+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

The Ottoman Soul of Giving – Kisah di Sebalik Bangunan Vakıf (Wakaf)

Saya berjalan perlahan menaiki bukit dari Vezneciler menuju ke Masjid Süleymaniye, salah satu karya agung arkitek legenda Mimar Sinan. Di sepanjang jalan berbatu lama itu, deretan bangunan batu kelabu berdiri kukuh. Sebahagiannya dulunya adalah kompleks vakıf, institusi kebajikan yang menjadi nadi kepada kehidupan sosial Empayar Uthmaniyyah.

Saya ke kawasan itu bukan semata-mata untuk melawat, tetapi untuk menghadiri satu ceramah mengenai sistem vakıf, diadakan di Süleymaniye Cultural Info Center. Bangunan ini pada asalnya merupakan sebahagian daripada kompleks Masjid Süleymaniye, namun kini diubah suai menjadi pusat penerangan budaya di bawah pengurusan Vakıflar Genel Müdürlüğü — jabatan yang masih memelihara dan menyelia ribuan harta wakaf di seluruh Türkiye.

Di sini, pelawat boleh menonton dokumentari tentang sejarah vakıf, melihat pameran foto bangunan-bangunan lama yang dibina hasil derma masyarakat, dan memahami bagaimana sistem ini berfungsi sejak abad ke-16.

Mereka juga mengadakan sesi diskusi dan ceramah seperti yang saya hadiri, satu usaha untuk menghidupkan semula kesedaran tentang konsep kebajikan yang berakar dalam budaya Islam dan sejarah negara.

Sambil menunggu acara bermula, saya duduk di halaman kecil berhampiran pancutan air. Suasananya tenang, hanya kedengaran burung merpati dan langkah kaki pelawat. Sukar membayangkan bahawa berabad-abad lalu, bangunan-bangunan di sekeliling saya pernah menampung dapur awam (imaret), sekolah agama (medrese), dan asrama pelajar. Semuanya hasil daripada sistem vakıf yang tersusun rapi.

Penceramah petang itu menjelaskan bahawa vakıf bermaksud “menahan sesuatu untuk kebaikan.” Dalam praktiknya, seseorang boleh mewakafkan tanah, rumah, bahkan hasil sewaan kedai, dan keuntungan itu digunakan untuk membiayai kemudahan awam. Di zaman Uthmaniyyah, konsep ini begitu meluas hingga hampir setiap masjid, hospital, dan jambatan dibiayai melalui dana wakaf.

Menurut sejarawan Nazif Öztürk, sistem vakıf inilah yang menjadikan masyarakat Uthmaniyyah berfungsi dengan penuh keseimbangan, antara keagamaan dan kemasyarakatan. Ia bukan sekadar amalan derma, tetapi satu sistem sosial yang membolehkan kebaikan berterusan tanpa bergantung sepenuhnya pada kerajaan.

Apabila keluar dari pusat itu menjelang senja, saya berdiri di halaman Masjid Süleymaniye dan memandang ke arah Bosphorus. Dari sini, kota Istanbul terbentang luas — masjid, sekolah, air pancut, semuanya mungkin berdiri atas tanah yang satu ketika dahulu diwakafkan oleh seseorang yang tidak lagi dikenali.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED