
Selepas Sabbatai Sevi memeluk Islam pada tahun 1666, sebahagian pengikutnya memilih untuk terus setia kepada ajarannya. Mereka turut memeluk Islam secara luaran, namun masih mengamalkan kepercayaan Yahudi.
Dari sinilah muncul komuniti yang dikenali sebagai Dönme, daripada perkataan Turki yang bermaksud ‘yang berpaling’ atau ‘yang menukar agama’. Nama ini mencerminkan perubahan identiti mereka di mata masyarakat luar.
Komuniti Dönme hidup dalam dua dunia yang berbeza, sebagai orang Islam di khayalak ramai dan sebagai penganut ajaran Yahudi di rumah. Pada masa yang sama, mereka mengekalkan elemen kepercayaan lama yang diwarisi daripada Sabbatai Sevi.
Kehidupan dalaman komuniti ini sangat terjaga dan penuh rahsia. Anak-anak tidak didedahkan kepada ajaran sebenar sehingga mereka mencapai usia 18 tahun atau masa untuk berkahwin. Wanita diberikan hak yang lebih seimbang, termasuk dalam pembahagian harta pusaka, sesuatu yang jarang berlaku pada zaman itu.
Mereka mengamalkan khatan mengikut tradisi Islam, tetapi tetap mengekalkan ibadah dan ritual Yahudi tertentu. Bahasa Ibrani dan Sepanyol digunakan dalam amalan keagamaan mereka.
Menjelang kejatuhan Empayar Uthmaniyyah, komuniti Dönme berada dalam suasana perubahan politik yang besar. Dalam tempoh ini, mereka sering dikaitkan dengan golongan intelektual dan reformis di bandar seperti Istanbul. Komuniti mereka tinggal di kawasan elit seperti Nişantaşı, Teşvikiye, Taksim, dan Maçka.
Terdapat juga spekulasi dan kontroversi yang mengaitkan mereka dengan pelbagai gerakan rahsia.Mereka didakwa terlibat dengan gerakan Young Turks dan CUP, yang menjatuhkan empayar Uthmaniyyah.
Mehmed Cavid Bey, yang juga seorang Dönme, dijatuhkan hukuman mati atas cubaan bunuh terhadap Mustafa Kemal Atatürk pada tahun 1926. Namun, kaitan antara peristiwa ini dengan keseluruhan komuniti Dönme masih menjadi perbahasan dalam kalangan sejarawan.
Dalam Türkiye moden hari ini, identiti Dönme semakin kabur dan banyak yang telah berasimilasi sepenuhnya dalam masyarakat umum. Generasi baru kebanyakannya tidak lagi mengamalkan tradisi lama secara terbuka. Namun, jejak sejarah mereka masih wujud dalam perbincangan akademik dan identiti keluarga tertentu.