+60198815190  
 akudianatolia@gmail.com

Kenapa Baju Baru Masih Murah di Türkiye Walaupun Inflasi Tinggi?

Setiap kali musim luruh tiba di Istanbul, saya perasan satu perkara yang sama. Orang sini mula berpakaian lebih kemas. Jaket kulit, kot panjang, dan sweater mula memenuhi jalan-jalan di Istanbul.

Berbanding musim panas yang dipenuhi T-shirt dan seluar pendek, musim luruh seolah-olah menjadi musim untuk orang Istanbul menunjukkan gaya mereka berpakaian. Berjalan di Taksim atau Kadıköy, mudah untuk melihat orang yang berpakaian cukup bergaya walaupun kos sara hidup semakin mahal.

Dengan inflasi dan kos sara hidup yang tinggi di Türkiye, kenapa orang Turki masih banyak membeli pakaian baru? Kenapa tidak lebih ramai memilih pakaian terpakai seperti yang biasa kita lihat di negara-negara Barat?

Türkiye memang mengalami kenaikan harga yang besar sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Tetapi kalau berjalan di sekitar Istanbul, kedai pakaian masih ada di mana-mana. Pusat membeli-belah penuh dengan jenama pakaian, manakala kedai kecil dan pasar minggu pula menawarkan pakaian baru pada pelbagai tahap harga.

Salah satu sebabnya ialah Türkiye bukan sekadar negara yang banyak menggunakan pakaian. Türkiye juga merupakan salah satu pengeluar tekstil dan pakaian utama di Eropah.

Industri tekstil Türkiye sudah berkembang sejak berpuluh-puluh tahun. Banyak kilang di negara ini menghasilkan pakaian untuk pasaran tempatan dan juga untuk dieksport ke Eropah. Sebab itu kita boleh melihat begitu banyak jenama tempatan seperti LC Waikiki, DeFacto, Koton dan Mavi, selain ribuan pengeluar yang lebih kecil.

Türkiye juga mempunyai rantaian pengeluaran yang agak lengkap, daripada fabrik sehingga kepada pakaian siap pakai. Pengeluaran dalam jumlah besar membantu memastikan pakaian tertentu masih boleh dijual pada harga yang agak rendah walaupun kos pengeluaran meningkat.

Di Türkiye, membeli pakaian baru tidak semestinya bermaksud membayar harga penuh. Jenama besar sering mengadakan jualan bermusim, sementara kedai outlet menawarkan barangan dengan harga yang lebih rendah. Pasar minggu dan kedai pakaian kecil juga memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna yang mempunyai bajet terhad.

Tambahan lagi budaya thrift store seperti yang biasa dilihat di Britain atau Amerika Syarikat, atau bundle di Malaysia tidak begitu kuat di Türkiye. Bagi sesetengah orang, membeli pakaian baru lebih mudah dan selesa, terutama apabila pakaian baru sendiri boleh didapati dengan harga yang tidak terlalu tinggi.

Bagi pelancong dari Malaysia pula, saya rasa perkara ini boleh dijadikan salah satu peluang ketika bercuti di Türkiye. Tidak perlu pernuhkan beg dengan terlalu banyak pakaian dari Malaysia. Bawa pakaian yang secukupnya untuk beberapa hari, kemudian tinggalkan sedikit ruang dalam beg untuk membeli pakaian baru di sini.

Dengan begitu banyak pilihan daripada jenama tempatan, kedai outlet, pasar dan jualan bermusim, Türkiye memang antara tempat yang menarik untuk mencari pakaian baru. Tambahan pula, membeli pakaian di sini bukan sekadar membawa pulang cenderamata. Kita juga dapat membawa pulang ‘buah tangan’ yang boleh dipakai selepas pulang ke Malaysia.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Simit: Roti Bijan Kegemaran Orang Turki

Jika anda berjalan-jalan di sekitar Istanbul, salah satu makanan yang paling mudah ditemui ialah simit, sejenis roti berbentuk gelang yang disaluti bijan. Roti ini dijual di atas troli merah di…
Read more

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED