+60198815190  
 akudianatolia@gmail.com

Bangunan TBMM Kedua: Jantung Politik Ankara

Selepas Ankara dipilih sebagai ibu negara pada 13 Oktober 1923 dan Republik Türkiye diisytiharkan beberapa minggu kemudian, sebuah bangunan Parlimen yang lebih besar mula diperlukan. Bangunan Parlimen Pertama (I. TBMM Binası) di Ulus yang digunakan sejak 1920 sudah tidak lagi mampu menampung perkembangan ahli dewan.

Sebuah bangunan baharu yang terletak tidak jauh dari situ kemudiannya diubah suai untuk menjadi pusat Parlimen Türkiye (II. TBMM Binası). Ia mula digunakan pada 18 Oktober 1924 dan kekal sebagai bangunan Parlimen selama 36 tahun.

Bangunan ini pada asalnya direka pada tahun 1923 oleh arkitek Vedat Tek sebagai Halk Fırkası Mahfeli, atau Kelab Parti Rakyat. Parti ini kemudiannya dikenali sebagai Cumhuriyet Halk Partisi (CHP), atau Parti Rakyat Republik, yang masih wujud hingga hari ini.

Dari segi seni bina, bangunan dua tingkat ini memperlihatkan ciri Gerakan Seni Bina Kebangsaan Pertama yang popular pada tahun-tahun awal Republik. Ia dibina daripada batu potong dengan tingkap melengkung, cucur atap yang lebar serta panel jubin pada beberapa bahagian muka bangunan. Bahagian dalamnya pula dihiasi siling kayu dengan motif Seljuk dan Uthmaniyyah.

Antara tahun 1924 hingga 1960, dewan ini menjadi tempat berlangsungnya banyak perubahan penting dalam sejarah awal Republik Turki. Prinsip dan pembaharuan Atatürk dilaksanakan melalui Parlimen, undang-undang moden diperkenalkan dan beberapa perjanjian penting ditandatangani. Dalam tempoh ini juga, Türkiye mula beralih daripada sistem satu parti kepada sistem berbilang parti.

Salah satu peristiwa paling terkenal berlaku pada 15 hingga 20 Oktober 1927, apabila Mustafa Kemal Atatürk menyampaikan Büyük Nutuk, atau Great Speech, selama enam hari dengan jumlah keseluruhan kira-kira 36 jam 33 minit di dewan ini. Ucapan tersebut menjadi salah satu sumber penting untuk memahami perjuangan kemerdekaan dan tahun-tahun awal Republik Turki.

Parlimen terus menggunakan bangunan ini sehingga 27 Mei 1960, apabila ia akhirnya berpindah ke bangunan Parlimen baharu. Selepas itu, bangunan ini digunakan sebagai ibu pejabat CENTO, sebuah organisasi kerjasama keselamatan serantau, sehingga organisasi tersebut dibubarkan pada tahun 1979.

Hari ini, bangunan tersebut dikenali sebagai Cumhuriyet Müzesi, atau Muzium Republik. Di dalamnya terdapat gambar, dokumen, barangan peribadi dan bahan berkaitan tiga presiden pertama Republik Turki, iaitu Mustafa Kemal Atatürk, İsmet İnönü dan Celal Bayar. Dewan persidangan lama juga dikekalkan supaya pengunjung dapat melihat ruang yang pernah menjadi tempat berlangsungnya sidang Parlimen selama lebih tiga dekad.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED