
Gerakan Seni Bina Nasional Pertama (The First National Architectural Movement) muncul pada penghujung zaman Uthmaniyyah dan berterusan hingga tahun-tahun awal Republik Turki, sekitar 1908 hingga 1930-an.
Pada ketika itu, kawasan seperti Pera sudah dipenuhi dengan senibina bangunan Eropah yang bermotifkan neoklasik dan art nouveau, yang mencerminkan pengaruh Barat yang kuat. Dalam suasana ini, lahir satu reaksi dalam kalangan arkitek tempatan untuk membentuk identiti yang lebih ‘sendiri’.
Idea ini lahir daripada keperluan untuk membentuk identiti seni bina yang jelas ketika negara sedang melalui perubahan politik yang besar. Daripada meniru sepenuhnya gaya senibina Eropah, para arkitek memilih untuk menghidupkan semula unsur Seljuk dan Uthmaniyyah dalam bentuk yang lebih moden. Tujuannya jelas, membina satu bahasa seni bina ‘nasional’ yang menghubungkan masa lalu dengan masa depan.
Gaya reka bentuk gerakan ini banyak mengambil inspirasi daripada motif sejarah tetapi disusun dengan pendekatan yang lebih moden. Kita boleh lihat penggunaan lengkungan runcing, kubah, bumbung lebar, serta fasad simetri yang dihiasi dengan jubin bermotif. Unsur geometri Seljuk dan hiasan Uthmaniyyah diperhalus agar sesuai dengan teknik pembinaan semasa.
Antara tokoh utama dalam gerakan ini ialah Vedat Tek dan Mimar Kemaleddin, yang memainkan peranan penting dalam membentuk arah seni bina ketika itu. Mereka merupakan antara arkitek profesional terawal dalam kalangan rakyat tempatan dan sangat komited dalam usaha membina identiti seni bina kebangsaan.
Beberapa contoh bangunan daripada gerakan ini masih dapat dilihat hingga hari ini. Pejabat Pos Sirkeci di Istanbul yang direka oleh Vedat Tek menonjol dengan fasad yang kaya dengan hiasan dan perincian.
Selain itu, Institut Gazi di Ankara oleh Mimar Kemaleddin memperlihatkan pendekatan yang lebih berani tetapi masih mengekalkan prinsip yang sama.
Hari ini, Gerakan Seni Bina Nasional Pertama dilihat sebagai simbol kepada satu fasa penting dalam sejarah, di mana identiti, politik dan reka bentuk bertemu dalam satu naratif yang sama. Ia mencerminkan usaha untuk mentakrifkan makna ‘nasional’ melalui rekaan bangunan, ketika negara sedang dibentuk semula.
Walaupun zaman seterusnya bergerak ke arah modenisme antarabangsa, gerakan ini tetap meninggalkan kesan visual yang kuat. Bangunan-bangunannya terus menjadi saksi kepada era peralihan di Istanbul dan seluruh Türkiye.