+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com
Home > Turkiye Moden > Seni & Budaya

Reaksi Masyarakat Terhadap Azan dalam Bahasa Turki

Masyarakat di Turki pertama kali mendengar bacaan al-Quran, takbir dan iqamah dalam bahasa Turki pada malam Lailatulqadar, 3 Februari 1932, dalam satu majlis yang diadakan di Hagia Sophia. Acara tersebut turut disiarkan secara langsung melalui radio, membolehkan penduduk di pelbagai wilayah mengikuti reformasi yang sedang diperkenalkan.

Selepas arahan rasmi dikeluarkan, penggunaan azan dalam bahasa Turki mula dikuatkuasakan secara berperingkat di seluruh negara. Dalam tempoh beberapa tahun, amalan tersebut menjadi kebiasaan di hampir semua wilayah. Hanya sebahagian kawasan pedalaman yang sukar diakses oleh pihak berkuasa masih mengekalkan amalan lama untuk suatu tempoh tertentu. Di kawasan yang berada dalam jangkauan polis dan pasukan jandarma, pelaksanaan dasar ini dipantau dengan teliti dan tegas.

Walaupun ramai yang mematuhi arahan baharu itu, terdapat juga sebahagian bilal dan kelompok masyarakat yang enggan menerima perubahan tersebut. Bentuk penentangan yang muncul selalunya bersifat pasif dan dilakukan secara berhati hati.

Ada yang meminta kanak-kanak atau individu yang mengalami gangguan mental melaungkan azan dalam bahasa Arab. Ada juga yang membaca azan Turki dengan kuat sebelum mengulangi lafaz dalam bahasa Arab secara perlahan-lahan, manakala sebahagian yang lain meminta orang yang bukan imam atau bilal rasmi untuk melaungkan azan dalam bahasa Arab bagi mengekalkan tradisi asal.

Penentangan terbuka pertama terhadap azan Turki berlaku di Bursa pada 1 Februari 1933. Pada hari tersebut, seorang lelaki bernama Topal Halil telah melaungkan azan dalam bahasa Arab di Ulu Camii Bursa. Seorang anggota polis berpakaian biasa yang menunggu di kaki menara segera menahannya sebelum membawanya ke balai polis. Penahanan itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan sebahagian penduduk dan menarik perhatian pihak berkuasa pusat.

Ketika berita tersebut sampai kepada Mustafa Kemal Atatürk yang berada di Izmir, beliau segera berangkat ke Bursa. Dalam kenyataannya, Atatürk menegaskan bahawa isu yang dipertikaikan bukanlah soal agama, tetapi soal bahasa. Beliau melihat insiden tersebut sebagai satu cabaran terhadap dasar negara yang sedang dilaksanakan.

Susulan insiden tersebut, beberapa pegawai kerajaan di Bursa dikenakan tindakan. Mufti Bursa, pendakwa raya dan majistret yang bertanggungjawab terhadap kawasan tersebut telah disingkirkan daripada jawatan masing masing. Sementara itu, seramai sembilan belas individu lain dibicarakan di Mahkamah Jenayah Çorum. Selepas perbicaraan yang berlangsung selama kira kira setahun, mereka dijatuhi hukuman penjara dan dibuang negeri.

Pada peringkat awal, penguatkuasaan terhadap azan Turki lebih banyak dilaksanakan melalui arahan kerajaan pusat. Namun keadaan berubah apabila kerajaan mengambil langkah untuk memasukkan larangan tersebut ke dalam rang undang-undang.

Melalui pindaan kepada Artikel 526 yang dicadangkan pada 15 April 1939 dan dimuktamadkan pada tahun 1941, satu peruntukan baharu ditambah. Peruntukan itu menetapkan bahawa sesiapa yang melaungkan azan atau iqamah dalam bahasa Arab boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan atau dikenakan denda antara sepuluh hingga dua ratus lira.

Menjelang pertengahan dekad 1940-an, azan Turki telah menjadi amalan rasmi negara selama lebih sedekad. Walaupun penguatkuasaan undang-undang berjaya memastikan pelaksanaannya di seluruh negara, perbahasan mengenai isu tersebut tidak pernah benar-benar berakhir.

Kemunculan sistem pelbagai parti selepas Perang Dunia Kedua dan penubuhan Parti Demokrat menjelang pilihan raya 1946 membuka ruang baharu kepada perbincangan mengenai kebebasan beragama dan masa depan azan Turki. Perubahan politik inilah yang akhirnya membawa kepada satu lagi titik penting dalam sejarah di Turki.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED