
Pengusiran orang Yahudi dari Sepanyol pada tahun 1492 telah memaksa ramai keluarga Yahudi Sephardic mencari perlindungan di wilayah Empayar Uthmaniyyah. Bandar seperti Istanbul, Smyrna (Izmir), dan Salonika (Thessaloniki) menjadi pusat kehidupan Yahudi yang berkembang pesat.
Di bawah sistem millet, mereka dibenarkan mengamalkan agama serta mengurus hal komuniti sendiri. Keadaan ini mewujudkan kestabilan dalam hidup mereka, dan dalam suasana inilah muncul Sabbatai Sevi.
Dilahirkan di Izmir pada tahun 1626, beliau berasal daripada keluarga Yahudi Sephardic yang dihormati dan terlibat dalam perdagangan. Sejak muda, beliau tertarik kepada Kabbalah, iaitu ajaran mistik dalam tradisi Yahudi.
Menginjak dewasa, Sabbatai Sevi mula mengisytiharkan dirinya sebagai Messiah yang dinantikan oleh orang Yahudi. Dakwaan ini muncul ketika banyak komuniti mereka di Eropah berada dalam suasana ketidakpastian dan mengharapkan seorang penyelamat muncul.
Apabila pengaruhnya semakin meluas, pihak berkuasa Uthmaniyyah mula memberi perhatian serius. Sabbatai Sevi akhirnya ditangkap dan dibawa ke hadapan Sultan Mehmed IV. Walaupun empayar ini terkenal dengan toleransi terhadap pelbagai agama, kestabilan politik tetap menjadi keutamaan.
Apabila berdepan pilihan antara dikenakan hukuman mati atau memeluk Islam, Sabbatai Sevi memilih untuk memeluk Islam. Beliau mengambil nama Aziz Mehmed Efendi dan hidup di bawah sistem Uthmaniyyah.
Tindakan ini mengejutkan para pengikutnya dan menimbulkan pelbagai reaksi. Sebahagian pengikut meninggalkannya, manakala sebahagian lagi menganggap keputusan tersebut mempunyai makna yang tersirat. Perpecahan ini menjadi titik perubahan besar dalam gerakannya.
Sabbatai Sevi menghabiskan sisa hidupnya dalam keadaan yang jauh berbeza daripada zaman kegemilangannya. Beliau meninggal dunia pada tahun 1676 dalam buangan. Walaupun begitu, sebahagian pengikutnya terus berpegang kepada kepercayaannya.Daripada kelompok inilah muncul komuniti yang dikenali sebagai dönme, atau ‘crypto-Jews’, yang mengamalkan ajaran dan berpakaian seperti orang Islam tetapi tetap menyimpan ajaran asal mereka.