+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

Evolusi Bahasa Visual Agama Kristian

Apabila saya melangkah masuk ke Hidden Church (Saklı Kilise) yang terletak di Göreme Open Air Museum, saya sedar bahawa apa yang saya lihat di Cappadocia bukan sekadar seni, tetapi satu cara berkomunikasi yang berkembang mengikut masa dan cabaran semasa. 

Lukisan merah ringkas di siling dan dinding gereja ini terasa berbeza daripada gereja-gereja lain di sekitarnya. Ia seolah-olah hanya mahu difahami oleh mereka yang sudah tahu maknanya.

Di Göreme, khususnya di gereja-gereja awal seperti Hidden Church, simbolisme (symbolism) lebih dominan berbanding naratif. Salib digayakan dalam bentuk geometri, figura manusia diringkaskan, dan motif hiasan diulang secara konsisten. Warna terhad, kebanyakannya merah, dan lukisan sering kelihatan hampir abstrak. 

Ini mencerminkan satu fasa awal Kristian (Early Christianity) di Cappadocia, ketika kepercayaan perlu disampaikan secara berhati-hati. Simbol bukan bertujuan untuk menarik perhatian orang luar, tetapi untuk mengukuhkan kefahaman dalam komuniti mereka.

Apabila saya bandingkan dengan Derinkuyu, perbezaannya bukan pada gaya lukisan semata-mata, tetapi pada fungsi ruang. Di kota bawah tanah ini, frescoes (lukisan di dinding) hampir tiada atau sangat minimum.

Berbeza pula suasananya di Lembah Ihlara (Ihlara Valley). Gereja-gereja di sini mula memperlihatkan peralihan penting. Frescoes di Ihlara masih mengekalkan simbolisme, tetapi naratif sudah mula muncul dengan lebih jelas.

Kisah-kisah dari Bible dipersembahkan secara lebih teratur, walaupun masih ringkas. Figura manusia menjadi lebih jelas, ekspresi mula ditunjukkan, dan kaitan antara lukisan mula dapat dilihat.

Di Ihlara, dinding gereja mula berfungsi sebagai kitab bergambar (visual scripture). Ia bukan lagi hanya penanda identiti, tetapi alat pengajaran. Simbol masih digunakan, tetapi kini disokong oleh naratif. Perubahan ini selari dengan penerimaan Kristian dalam Empayar Rom dan peningkatan peranan gereja sebagai pusat komuniti.

Kemuncak evolusi ini dapat dilihat di Selime Monastery. Di sini, seni bina (architecture) dan frescoes berfungsi bersama sebagai pernyataan terbuka kepercayaan mereka. Lukisan-lukisan menjadi lebih besar, lebih berani, dan lebih teologikal.

Kristus sering digambarkan sebagai Christ Pantokrator – lukisan keemasan Jesus Christ dengan Bible di tangan, bukan lagi simbol tersirat tetapi figura berautoriti. Susunan ruang lebih kompleks, mencerminkan hierarki gerejawi dan struktur institusi yang semakin kukuh.

Jika lukisan di Cappadocia berkembang daripada simbol ringkas yang hampir tersembunyi, 300 tahun kemudian Hagia Sophia pula mewakili tahap di mana imej Kristian diisytiharkan secara terbuka sebagai bahasa empayar.

Dari gereja batu yang tersembunyi ke kubah agung Constantinople, seni visual menceritakan satu perubahan besar. Kepercayaan yang pernah berkomunikasi dalam diam akhirnya berdiri gah sebagai identiti sebuah peradaban.

Sokong Aku di Anatolia dari serendah RM5.00

Setiap sumbangan anda membantu saya menampung kos perjalanan, lawatan ke tapak sejarah, tiket masuk muzium, serta masa yang diluangkan untuk membaca, meneliti, dan menulis setiap artikel dengan lebih mendalam dan bertanggungjawab.

Penulisan ini bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi usaha untuk memahami tempat, berjalan di lokasinya, dan menyampaikan sejarahnya dengan jujur dari Anatolia. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong saya dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah:

RM5 / RM10 / RM50 / RM100
Terima kasih atas sokongan anda.
Ia benar-benar memberi makna dan semangat untuk saya terus menulis.
Related Post;

Sumbangan

Top 5 Artikel
COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
ALL RIGHTS RESERVED