+905015915190  
 nasaruddin.nawi@gmail.com

Di Sebalik Majlis Berkhatan di Türkiye

Saya dijemput menghadiri sünnet düğünü (majlis berkhatan) pertama saya di rumah seorang rakan di Istanbul tidak lama dulu. Walaupun proses berkhatan biasanya dilakukan lebih awal di hospital atau klinik, majlis sambutannya diadakan kemudian. Ia bukan sekadar acara keluarga, tetapi satu penanda penting dalam perjalanan hidup seorang kanak-kanak lelaki, seakan satu peralihan ke fasa baharu dalam hidupnya.

Pada hari tersebut, rumah itu dipenuhi saudara-mara, jiran tetangga, dan rakan-rakan. Suasana sangat meriah. Dari dapur, makanan keluar tanpa henti, sementara ruang tamu dipenuhi perbualan dan gelak tawa. Di tengah-tengah semua ini ialah anak lelaki rakan saya, berpakaian lengkap dengan busana khas. Bajunya serba putih, lengkap dengan jubah kecil, topi berhias, dan selempang di dada. Dia kelihatan seperti seorang putera kecil untuk sehari. Setiap kali ada yang memujinya, mereka akan menyebut maşallah, satu ungkapan yang digunakan untuk mengelakkan pandangan tidak baik atau nasib buruk.

Sebelum majlis di rumah bermula, keluarga membawanya mengelilingi kawasan kejiranan dengan kereta yang dihias cantik. Saya diberitahu ini adalah sebahagian daripada tradisi. Ia mengingatkan saya kepada konvoi pengantin, cuma kali ini semua orang tahu ia meraikan seorang kanak-kanak yang baru berkhatan. Jiran-jiran melambai, hon dibunyikan, dan kegembiraan itu dikongsi bersama seluruh kejiranan.

Melihat semua ini, saya teringat satu kisah lucu daripada sebuah novel fiksyen yang saya baca, Honour karya Elif Şafak. Walaupun ceritanya fiksyen, Elif banyak menggunakan rujukan budaya sebenar. Dalam satu bab, dia menceritakan tentang seorang budak lelaki di sebuah kampung di Timur Turki yang melarikan diri daripada majlis berkhatannya. 

Dia memanjat pokok dan bersembunyi di situ. Apabila akhirnya ditemui, dia menangis teresak-esak memanggil ibunya. Si ibu berpura-pura simpati, memujuk dengan suara lembut supaya dia turun. Sebaik sahaja kakinya mencecah tanah, ibunya terus memarahinya kerana telah memalukan keluarga di hadapan orang ramai. Saya membaca bab itu sambil ketawa, dan selepas menghadiri majlis ini sendiri, saya rasa cerita itu mungkin tidaklah terlalu jauh dari realiti.

Pemberian hadiah juga memainkan peranan besar. Ramai tetamu membawa syiling emas yang diikat dengan reben, ada yang disematkan pada pakaiannya, ada juga yang diserahkan kepada ibu bapanya. Saya dimaklumkan bahawa emas dipilih kerana nilainya yang kekal, berbanding duit lira yang dimakan inflasi.

Apa yang paling meninggalkan kesan kepada saya ialah rasa kebersamaan yang kuat. Sünnet düğünü ini bukan tentang proses bersunat itu, tetapi tentang keluarga, identiti, dan hubungan sosial. Duduk di rumah rakan saya, dikelilingi makanan, muzik, dan wajah-wajah yang gembira, saya merasakan bagaimana satu tradisi boleh mengikat generasi dan mengekalkan nilai budaya dengan cara yang sangat hidup dan bermakna.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    COPYRIGHT © 2026 AKU DI ANATOLIA
    ALL RIGHTS RESERVED