
Bosnia & Herzegovina bagi saya kini terasa seperti rumah ketiga selepas Malaysia dan Türkiye. Dalam setahun saya akan terbang beberapa kali ke sana atas urusan kerja. September lepas saya terbang lagi ke sana atas jemputan seorang kawan yang bekerja di sebuah kafe kecil di pekan Baščaršija.
Kawasan itu penuh dengan aroma kopi, bunyi burung merpati, dan deretan kedai tembaga yang berkilau di bawah cahaya matahari. Selepas minum dan berbual, saya berjalan perlahan di lorong-lorong batu yang sempit sambil melihat bangunan-bangunan lama yang masih terpelihara. Melihat suasana itu membuat saya tertanya bagaimana Islam mula bertapak di bumi Bosnia dan bagaimana ia menjadi sebahagian besar daripada identiti di sini.
Kisah bagaimana Islam tersebar di kalangan rakyat Bosnia pada abad ke-15 dan ke-16 sangat berkait rapat dengan cara Uthmaniyyah mentadbir wilayah yang baru ditakluk. Bila tentera Uthmaniyah masuk ke Bosnia, mereka bukan sahaja datang sebagai angkatan perang. Mereka juga membawa pegawai-pegawai kerajaan, tukang-tukang, dan keluarga dari Anatolia yang menetap di beberapa bandar penting. Kehadiran mereka memperkenalkan budaya serta kehidupan harian sebuah masyarakat Islam kepada penduduk tempatan.
Salah satu sebab utama ramai orang Bosnia memilih untuk memeluk Islam ialah perubahan dalam keadaan hidup mereka. Di bawah pemerintahan sebelumnya, mereka menanggung cukai yang berat dan tekanan daripada para bangsawan. Pentadbiran Uthmaniyah menawarkan sesuatu yang sangat berbeza.
Mereka yang memeluk Islam menerima cukai yang lebih ringan serta pelbagai kelebihan sosial. Ini bukan paksaan. Ia lebih kepada pilihan yang masuk akal pada zaman yang sukar, bila orang ramai mencari apa saja yang boleh menjadikan hidup lebih baik.
Pada masa yang sama, Uthmaniyah membina masjid, jambatan, pasar, hammam, dan jalan. Infrastruktur ini bukan sekadar simbol. Ia adalah pelaburan yang memudahkan kehidupan harian rakyat. Bandar yang sebelum itu huru-hara mula berfungsi semula dengan perdagangan yang teratur dan kemudahan awam yang selamat digunakan.
Faktor besar lain ialah perlindungan. Bosnia ketika itu dikelilingi kerajaan dan ketua perang yang sering merompak kampung serta mengenakan cukai yang kejam. Kehadiran tentera Uthmaniyah menghentikan semua ini. Ramai penduduk rasa selamat buat pertama kali selepas sekian lama. Pemerintahan baru bukan sekadar berjanji mulut, tetapi benar-benar mengotakan janji mereka untuk mengekalkan keamanan.
Uthmaniyah juga tidak mengutip cukai buat sementara waktu selepas penaklukan. Polisi ini memberi ruang kepada penduduk untuk bernafas dan menilai keadaan baru mereka. Ramai mula merasakan hidup di bawah Uthmaniyah jauh lebih baik daripada hidup di bawah bangsawan lama yang hanya mahukan cukai.
Bila semua faktor ini bergabung, penyebaran Islam di Bosnia berlaku secara semula jadi. Ia bukan sekadar kisah pertukaran agama, tetapi kisah tentang maruah, keselamatan, dan kehidupan yang lebih teratur. Hingga hari ini, warisan itu masih dapat dirasai di Lorong-lorong di Baščaršija, pada wajah penduduknya, dan dalam keharmonian yang terus dijaga. Ia mengingatkan kita bahawa apabila keadilan dan kesejahteraan didahulukan, kepercayaan akan tumbuh dengan sendirinya dan terus hidup merentasi zaman.